INILAH RAGAM, INILAH
GELAGAT. KEINGINAN HATI
YANG TERUS MENGGELIAT.
MAHU BEBAS MERDEKA
DARIPADA PENAMPILAN
JUGA PERIBADI USANG
LAGI BERKARAT!
Revolusi kita melihatnya di
mana-mana, berlaku tidak
kira masa dan tidak memilih
sesiapa. Lebih-lebih lagi
pada musim perayaan.
Kata teman saya, dia pening kepala pabila
menjelang Hari Raya kerana serba-serbi
bertukar baru semata. Setahun sekali pinta
isterinya, enggan mahu menjadi bahan
cerita kala bertandang teman atau sanaksaudara.
“Parah sungguh revolusi yang
isteri aku cetuskan!...” gerutu Halim (nama
samaran) seraya menyambung; “Menjelang
Hari Raya, semuanya mahu ditukar baru.
Kalau setakat baju, kasut atau tas tangan,
memang aku faham sangatlah tetapi
masalahnya seisi rumah mahu ditukar serba
baru…,” keluhnya dan disampuk seorang
lagi teman. “Alang-alang semua baru, baik
kau beli saja rumah baru. Barulah beraya
sakan namanya!.” Kami ketawa, bukan
main kuat lagi. “Kalau banyak sangat
kerenahnya yang menjerat leher aku,
apa susah…kahwin saja baru!.” Halim…
Halim… kerenah revolusi isteri yang satu
itu sudah cukup membuatkan hati runsing,
kepala pening, usahlah menambah lagi
beban dengan revolusi pintas. Percayalah,
kerana nikmatnya hanya seketika. Balanya
pasti sepanjang usia!
Dan memori kembali pula mengenangkan
gelagat seorang lagi teman yang mahu
ber ‘revolusi’. Alasannya, sudah bosan
dengan penampilan sedia ada. Semangat
dan teruja akhirnya mendorong Ain (nama
samaran) membuat revolusi membabi-buta.
Tanpa panduan, tanpa pedoman, semua
perkara ingin dicuba.
Penampilan kali pertama, Ain berjaya
memukau mata. Penampilannya mampu
mengunci mulut tidak kurang membuat
ramai yang ternganga. Matanya penuh
warna, bibirnya merah menyala. Padanan
bajunya huru-hara dan membimbit pula tas
tangan gebu berbulu warna merah muda.
Mana teman-teman yang cukup kenal,
mereka mula ketawa. Badut sarkis, itulah
gelaran buatnya.
|