10 Filem Paling Fesyen Di Era 2000

Tidak akan cukup 10 jika saya mahu menyenaraikan filem paling ‘fesyen’ sepanjang zaman, terlalu banyak dan mungkin tidak adil untuk saya berbuat demikian kerana banyak filem lama yang tidak berkesempatan saya tonton lagi. Tapi, mungkin saya boleh mengecilkan ruang lingkup ini dengan membariskan 10 filem yang saya rasakan cukup ‘fesyen’ sejak tahun 2000. Apa yang saya senaraikan ini adalah berdasarkan kejayaan juga komen pengkritik antarabangsa dan diadun mesra dengan cita rasa peribadi saya (of course saya ada kecenderungan mengikut taste sendiri kan?). Ayuh lihat filem dari tangga ke-10 hingga pertama.

10- Jackie (2016)

Saya rasa Jackie Kennedy dijelmakan cukup sempurna di dalam filem arahan Pablo Larraín ini. Emosi Natalie, juga rupa parasnya menyakinkan. Dua helaian ikonik di dalam filem ini ialah sut merah jambu Chanel yang digayakan oleh Jackie sewaktu hari suaminya mati ditembak dan juga baju fabrik wool merah darah Dior. Pereka kostum, Madeline Fontaine menghasilkan semula sut Chanel itu bersama pasukan kerjanya dan Chanel memberikan lima biji butang baju untuk dia meyempurnakan sut tersebut. Baju merah yang digayakan Natalie Portman dalam filem ini memang dihasilkan Dior.

 

9- Inception (2010)

Filem yang diarahkan oleh Christopher Nolan dan dibintangi Leonardo DiCaprio, Joseph Gordon-Levitt dan Marion Cotillard ini dianggap sebagai ‘suit porn’ bila mana aktor lelakinya sering dilihat tampil dalam balutan suit yang cukup kemas dan segak. Penata gayanya, Jeffrey Kurlands mencipta setiap karakter dengan gaya tersendiri, ada enam watak lelaki penting dalam filem ini jadi seharusnya pesona setiap individu ditonjolkan. Leonardo misalnya ditampilkan dengan gaya campuran klasik dan moden pada perinincian gayanya, warna pakaiannya juga terbatas pada gaya monokrom, stailnya understated. Siapa sangka filem sains fiksyen boleh tampil begitu ‘fesyen’ sekali.

 

8- Moulin Rouge (2001)

Tidak lengkap senarai ini andai tidak menyenarai filem arahan Baz Luhrmann ini. Filem yang dibintangi oleh Nicole Kidman ini dianugerahkan dua trofi Oscar termasuk bagi kategori Kostum Terbaik. Catherine Martin dan Angus Strathie menghidupkan gaya ekstravaganza Paris ketika tahun 1902. Moulin Rouge juga menerima pencalonan untuk Solekan Terbaik di Oscar namun tewas kepada filem The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring.

 

7- Sex & The City (2008)

Filem ini mungkin tidak sehebat sebagaimana sirinya di layar kaca namun ia bukanlah bermakna ia gagal dari segi elemen fesyennya. Adegan Carrie bersalin-salin baju pengantin untuk penggambaran muka depan Vogue antara yang ikonik. Gaun Vivienne Westwood yang digayakan Carrie juga menjadi highlight dalam filem yang ditatagayakan oleh Patricia Field ini. Sepatu biru Manolo Blahnik juga mencipta fenomena tersendiri hinggakan ramai perempuan berangan-angan mahu menyarung Manolo di hari bahagia mereka. Sorry, overrated!

 

6- Ocean’s Eight (2018)

Apa yang boleh anda bayangkan bila Cate Blanchett, Sandra Bullock dan Rihanna disatukan dalam satu filem? Pastinya box-office. Filem ini menampilkan ramai orang ‘fesyen’ sebagai cameo seperti Anna Wintour, Kendall Jenner, Kim Kardashian, Gigi Hadid, Dakota Fanning dan yang paling menonjol tentu sekali Anne Hathaway (tapi saya tidak suka warna gaunnya ke MET Gala dalam filem ini, nampak ‘kampung’). Menurut satu artikel yang saya baca, Cate Blanchett bersalin 40 pasang baju dan Sandra Bullock pula sebanyak 65 pasang, bayangkanlah berapa banyak baju yang perlu disediakan oleh Sarah Edwards (penata gaya) untuk keseluruhan karakter utama, ada lapan watak semuanya.

 

5- The Devil Wears Prada (2006)

Walaupun ini antara filem kegemaran saya tapi saya tidak rasa saya bersifat ‘bias’ kerana filem ini selayaknya berada dalam senarai. Filem arahan David Frankel ini berlatarkan kehidupan dunia penerbitan majalah di kota New York yang sarat dengan elemen fesyen. Adegan paling saya suka ialah ketika Andie (Anne Hathaway) bergaya sedondon Chanel selepas menjalani transformasi, potongan jambul rambutnya on point, terlihat segar. Patricia Field mendapat pencalonan akhir untuk Kostum Terbaik di Oscar, namun tewas di tangan Milena Canonera menerusi filem Marie Antoinette.

 

4- Carol (2015)

Filem percintaan songsang yang dibintangi oleh Cate Blanchett dan Rooney Mara ini diadaptasi daripada novel berjudul The Price of Salt nukilan Patricia Highsmith yang kemudian dijudulkan semula sebagai ‘Carol’ pada tahun 1990. Filem ini mendapat standing ovation selama 10 minit usai ditayangkan di Festival Filem Cannes. Stail dalam filem ini berpaksikan gaya orang New York di era 1950-an. Cate sering dilihat menggayakan tailor suit dan dipadankan dengan jaket bulu, skarf dan pelbagai aksesori. Rambutnya didandan gaya old Hollywood glamour dan satu yang saya suka kukunya sering dirias cantik dengan pewarna kuku merah. Cukup glamorous dan teliti tataan gayanya yang disempurnakan oleh Sandy Powell. Sandy pernah dicalonkan sebagai pereka kostum terbaik di Academy Awards sebanyak 15 kali dan memenangi tiga trofi daripadanya menerusi filem Shakespeare in Love (1998), The Aviator (2004) dan The Young Victoria (2009).

 

3- The Great Gatsby (2013)

Filem ini ‘sooooo’ Baz Luhrmann, filem sebegini memang makanannya. Filem yang disempurnakan penggambarannya di Sydney, Australia ini ditunjangi oleh Leonardo DiCaprio, Tobey Maguire dan Carey Mulligan. Pereka kostum Catherine Martin mendapat kerjasama daripada Miuccia Prada untuk menghasilkan 40 kostum yang rata-ratanya diambil dan diolah dari arkib Prada dan Miu Miu. Manakala sut-sut pula dihasilkan oleh Brook Brothers. Catherine Martin bukan sahaja memenangi Oscar untuk kategori Kostum Terbaik, malah dia turut membawa pulang trofi Rekaan Produksi Terbaik bersama pereka set, Beverley Dunn di Academy Awards pada tahun 2014.

 

2- Marie Antoinette (2006)

Bodohnya saya jika tidak meletakkan filem arahan Sofia Coppola ini di dalam senarai. Kehebatan Milena Canonera dalam bermain warna dalam filem ini telah menghadiahkannya trofi Oscar untuk kategori Kostum Terbaik. Kebanyakan gaun-gaun yang digayakan oleh bintang utamanya, Kristen Dunst dihasilkan oleh atelier di Rom dan menggunakan bermeter-meter kain taffeta dan kain renda dari kurun ke-18. Milena bukan sahaja menang di Oscar dia juga memenangi dua lagi trofi Kostum Terbaik di Las Vegas Film Critics Society Awards dan Phoenix Film Critics Society Awards. Anda tonton sendiri dan nilaikan.

 

1- A Single Man (2009)

Satu kegagalan besar jika seorang pereka fesyen mengarahkan filem tapi tidak meggunakan kepakarannya dalam menata gaya setiap karakter dalam filemnya. A Single Man, filem debut Tom Ford sebagai pengarah dan dibintangi oleh Colin Firth dan Julianne Moore. Gaya dan stail Julianne Moore dalam filem ini bagaikan di penggambaran majalah ataupun baru lepas berjalan di pentas peragaan minggu fesyen, cantik belaka. Baju-baju Colin di dalam A Single Man semuanya dihasilkan oleh Tom Ford sendiri, dan melihatkan dia bergaya dengan thick-framed black glasses membuatkan saya mahu memilikinya satu. Oh bukan sahaja busana, binaan rumah dan dekorasi dalamannya juga cukup stail.

 

 

Share via
Copy link