“HIJAB” Antara Obsesi Dan Limit

Gambar: zzeaomxe.xyz

 

Ramai wanita berhijab hari ini sudah berani mencabar sempadan fesyen, ada pula yang sanggup berbelanja hampir ribuan ringgit hanya untuk sehelai tudung. Adakah obsesi ini sudah melampaui batas?

 

Sebelum ini, saya terbaca berita mengenai seorang gadis berhjab keturunan Melayu yang berjaya memasuki pertandingan akhir Miss Universe New Zealand. Ia bukanlah sesuatu yang baharu kerana perkara itu mengingatkan saya kepada Halima Aden yang merupakan wanita berhijab pertama menyertai pertandingan Miss Minnesota USA.

 

Sehingga hari ini, dia telah melewati pentas peragaan di minggu fesyen utama dan juga membintangi muka hadapan majalah berprestij seperti Vogue Arabia, Glamour, Allure dan CR Fashion Book.

 

Walaupun kebangkitan fesyen modest atau berhijab di barat kian mencuri perhatian, ia sudah lama bertapak di Malaysia. Tidak boleh disangkal lagi, Malaysia adalah antara negara pelopor dalam kebangkitan fesyen modest dunia.

 

Gambar: instyle.com

 

Dan tidak salah saya katakan ikon seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Neelofa dan juga Vivy Yusof adalah nama yang sedikit sebanyak telah menarik ramai wanita untuk berhijab, lantas ia terus menjadi trend fesyen yang diikuti ramai.

 

Hari ini, ramai wanita berhijab lebih-lebih lagi eksekutifmuda sudah berani bermain dengan fesyen di lapangan profesional. Head-to-toe dibaluti dengan item fesyen mewah dan trendy. Tetapi, saya melihat ia turut mewujudkan obsesi yang melampau.

 

Ramai yang sanggup beratur panjang dan berbelanja ratusan ringgit untuk sehelai tudung edisi terhad. Dan adakalanya saya merasakan label fesyen lokal mahupun antarabangsa seperti mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan berlebihan daripada trend modest ini.

 

 

Pada pendapat saya, tidak salah buat wanita moden hari ini untuk bermain dengan fesyen selagi ia mengikut kemampuan diri dan tidak melanggar batasan agama. Ia juga perlu disulamkan dengan nilai kesederhanaan agar tidak tampak seperti mahu menunjuk-nunjuk dan riak.

 

Biar ia cukup membiaskan personaliti diri dan stail peribadi untuk melangkah menguasai dunia. Bak kata Miuccia Prada, “what you wear is how you present yourself to the world, especially today, when human contacts are so quick. Fashion is instant language.”

 

 

 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link