Dilarang Mengambil Gambar! Pelancong Yang Melanggar Undang-undang Di Pantai Phuket Ini Bakal Dikenakan Hukuman Mati

Merakam gambar di sesebuah lokasi yang dianggap ‘cool’ tanpa memikirkan risikonya seakan sudah menjadi kebiasaan ramai. Boleh dikatakan semata-mata untuk tatapan pengikut Instagram.

 

Gambar : Google

 

Ada kala mengambil swafoto tidak langsung memberikan keuntungan kepada anda, sebaliknya kerugian serta risiko yang tinggi. Dalam usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket Thailand, pelancong di pantai Mai Kho bakal berhadapan dengan hukuman berat termasuklah hukuman mati jika tertangkap mengambil swafoto di hadapan pantai tersebut yang mana menjadi lokasi popular kapal terbang yang ingin mendarat untuk terbang rendah di situ.

 

Sejak beberapa tahun ini, pantai yang kian terkenal sebagai Unseen Phuket ini menjadi backdrop pelancong untuk berswafoto dek kerana pemandangan kapal terbang yang terbang rendah di lokasi itu untuk proses mendarat di lapangan tersebut.

 

Menurut Bangkok Post, pihak berkuasa sangat prihatin mengenai potensi risiko keselamatan yang diambil oleh pengambil foto kepada juruterbang dan pesawat serta kini mereka sedang giat membangunkan zon keselamatan baharu berdekatan landasan kapal terbang tersebut.

 

“Orang ramai dan pelancong tidak akan dibenarkan masuk ke kawasan ini untuk mengambil gambar,” kata Timbalan Ketua Lapangan Terbang Phuket, Wichit Kaeothaihiam.

 

Gambar : Hotels.com

 

Pihak berkuasa lapangan terbang mengeluarkan amaran tambahan buat sesiapa sahaja yang tinggal atau menetap di sekitar 9 kilometer dari lapangan terbang tersebut, melarang sebarang drones untuk terbang di kawasan itu atau memancarkan sebarang cahaya terang ke arah kapal terbang yang ingin mendarat di situ, menurut laporan Chiang Rai Times.

 

Sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut, yang mana ditubuhkan di bawah Akta Navigasi Udara, bakal berhadapan dengan hukuman maksimum negara itu.

 

“Hukuman maksimum adalah hukuman mati,” katanya.

 

Hukuman yang kurang berat termasuklah denda sehingga 40,000 baht (lebih kurang RM5,131) atau penjara sehingga 20 tahun.

 

Meskipun undang-undang itu kelihatan agak ekstrem, tidak dinafikan yang mengambil gambar di lokasi tersebut sememangnya merbahaya dan mengundang padah, tidak hanya kepada pengambil gambar, malah juga untuk nyawa penumpang, krew kapal serta juruterbang kapal terbang yang mendarat di landasan itu.

 

 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link