Dua Puluh Ribu Orang Sertai The Music Run

Kerancakan dentuman muzik pada setiap jarak 50 meter,  The Music Run disifatkan sebagai acara larian yang menyeronokkan.

 

 

Saya selalu berlari setiap hujung minggu namun saya belum pernah menyertai mana-mana acara larian. Ternyata saya mengambil keputusan tepat untuk memulakan debut saya di dalam acara larian pabila saya menyertai The Music Run tahun ini.

 

Berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, saya sifatkan The Music Run satu acara yang sangat menyeronokkan. Ia sebuah acara yang menggabungkan elemen avtiviti kesukanan dengan hiburan, satu gandingan yang bukan baru dalam dunia sukan.

 

 

Seawal jam tiga petang perkarangan KL Sports City sudah dibanjiri peserta. Semakin lama semakin ramai, dan menurut penganjur jumlah peserta yang menyertai acara larian tahun ini mencecah 20,000 orang.

 

 

Dianjurkan AIA Vitality, deria pendengaran para peserta lewat petang itu disajikan dengan senarai lagu yang direka khas oleh Joox sebagai wadah inspirasai dan motivasi sepanjang menyempurnakan larian (5km atau 10km).

 

Dengan pembesar suara dipasang pada setiap 50m yang menyiarkan 150,000 watts lagu-lagu bertema larian yang terbaik, para pelari berpeluang merasai pengalaman kecergasan yang berbeza.

 

 

Usai menamatkan larian, para peserta dihiburkan dengan mainan muzik oleh DJ Sam Withers dari Australia . Withers, yang mengembara mengikuti pelbagai The Music Run di seluruh dunia, membawakan pelbagai lagu yang akan membuatkan orang ramai terus menari dan bergembira sehingga ke akhir The Music Run yang mula dilangsungkan sejak tahun 2014.

 

Share via
Copy link