Faktor Kesuntukan Masa

Di tempat kerja mahupun sekolah, pasti ada tugasan yang tidak dapat disiapkan kerana masa selalu menjadi penghalang. Banyak perkara yang ingin dilakukan sehingga satu pun tidak terusik. Meskipun anda mempunyai jadual masa yang baik, pasti ada saja yang jadi halangannya. Apakah antara faktor-faktor utama penyebab kesuntukan masa?

1. Banyak bercakap

Nampaknya tabiat banyak bercakap jadi faktor pertama! Bercakap tidak mengira masa boleh membuat pekerjaan terganggu, malah ia juga boleh menganggu orang lain. Tumpuan terhadap sesuatu kerja boleh terjejas kerana ada saja perkara yang ingin diperkatakan. Jadi, lebihkanlah mendengar dan kurangkanlah bercakap kerana ia dapat membantu anda melakukan sesuatu tugasan dengan lebih produktif!

2. Melakukan semua perkara dalam satu masa

Tidak menang tangan dibuatnya dengan kerja yang menimbun! Kalau boleh, semuanya ingin disiapkan dalam satu masa. Perkara sebegini tidak elok diamalkan. Walaupun anda mampu menyiapkan kesemuanya, pasti ada yang tertinggal dan kualiti kerja juga kurang memuaskan. Lakukanlah kerja dengan tenang dan siapkanlah tugasan satu persatu.

3. Leka

Melayari internet, menonton televisyen dan bermain video game merupakan perkara yang membuatkan anda leka. Sudah semestinya ia mengambil masa yang lebih lama daripada menyiapkan tugasan. Disiplinkan diri dengan menyiapkan tugasan terlebih dahulu sebelum melayan diri. Utamakan tugasan dan setelah ianya selesai, barulah manjakan diri dengan perkara yang ingin dilakukan. Memang berbaloi!

4. Sukar untuk mengatakan tidak

Pasti ada di kalangan rakan yang tidak memahami situasi anda yang mempunyai banyak kerja. Ada yang ajak berbual, berhibur, makan dan sebagainya. Walaupun banyak tugasan yang perlu disiapkan,namun anda masih mampu mengatakan ya pada mereka! Akhirnya, anda juga yang merana. Kadang kala, sikap selfish atau pentingkan diri sendiri perlu ada dalam diri. Belajarlah untuk mengatakan tidak.

Share via
Copy link