Astro Jawab Isu Fattah Amin Atau Aktor Lain Bintangi Remake Coffee Prince

Boleh kata ramai peminat k-drama tertanya-tanya adakah Fattah Amin bakal membintangi remake Coffee Prince atau siapakah aktor lain yang bakal mengungguli watak Han Gyul yang dipegang oleh Gong Yoo sebelum ini. Jadi, ini dia jawapan dari pihak Astro.

 

 

Kehangatan isu berkaitan pemilihan watak drama remake Coffee Prince dikatakan memuncak dek kerana rata-rata peminat drama asal lakonan Gong Yoo itu tidak bersetuju dengan pengambilan Fattah Amin sebagai watak utama drama itu.

 

EH! sempat mendapatkan jawapan kepada pertanyaan ramai itu dari pihak Astro dan ini jawapannya;

 

“Buat masa ini, kami masih lagi berbincang tentang pemilihan watak dalam drama tersebut. Dengan semua drama bersiri, kami cuba sebaik yang mungkin untuk memberikan watak kepada aktor yang paling layak tetapi ia juga bergantung pada kekosongan masa aktor tersebut dan jika mereka bersetuju dengan peranan mereka dalam memegang sesebuah watak itu,”kata Raqim Ahmad, Ketua Saluran Melayu Astro.

 

Menurutnya lagi, pihak Astro sememangnya mengambil kira akan semua nama-nama yang disarankan oleh peminat drama bersiri supaya sesebuah karya drama itu mendapat respon yang baik dari penonton.

 

“Kami mempertimbangkan semua nama yang dicadangkan untuk semua drama bersiri dan kami akan memastikan yang semua watak yang dipilih mendapat penerimaan yang baik dari penonton,” jelasnya lagi.

 

Pada masa yang sama, pihak Astro berharap yang peminat dapat bersifat lebih terbuka dan memberikan aktor-aktor ini peluang yang adil untuk mereka buktikan bakat yang mereka ada.

 

“Kami berharap peminat dapat menjadi lebih terbuka dan memberikan aktor-aktor ini peluang yang adil untuk mereka buktikan kebolehan mereka seperti mana ramai aktor yang kita lihat masa kini juga pernah berasal dari bakat baru yang tanpa sokongan peminat sebelum ini. Kami berpegang pada konsep menawarkan peluang yang setimpal dan sesetengah drama bersiri di saluran Ria telah memperkemaskan kerjaya mereka dari sebelum ini,” tambah Raqim lagi.

 

Ini sekaligus memberikan pandangan yang mana pemilihan watak drama remake Coffee Prince masih lagi dalam proses dan belum mendapat keputusan muktamad, sama ada dari pihak pelakon itu sendiri mahupun team produksi serta pihak Astro.

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link