Cerita Selebriti Ketika Berumur 15 Tahun

Oleh: Farhana Fuad & Mujahid Saddam

Sempena sambutan ulang tahun ke-15 Oktober ini, EH! tampil istimewa dengan tiga muka depan berbeza dihiasi 15 selebriti terkemuka tanah air. Kami juga turut menemu bual beberapa lagi selebriti untuk berkongsi kisah mereka ketika berumur 15 tahun. Jom ikuti cerita selebriti ini!

1. Izara Aishah

IzaraGambar: Instagram Izara Aishah

“Masa Izara umur 15 tahun, Izara bersekolah di SMK Cochrane, Jalan Syahbandar di Kuala Lumpur. Izara seorang yang naughty girl. Izara seorang yang tomboy, Izara selalu cari pasal dekat sekolah, Izara selalu ponteng sekolah, Izara gangster. Siapa yang cari pasal dengan Izara memang tunggulah balasannya. Masa itu juga, Izara seorang atlet sekolah. Jadi geng-geng olahraga ini lain macam sikit perangainya.”

2. Izzue Islam

IzzueGambar: Instagram Izzue Islam

“Ketika saya berumur 15 tahun, saya masih ingat bahawa saya pernah terlibat dalam kemalangan jalanraya ketika saya bersama seorang sahabat baik saya membonceng basikal dan saya merupakan penunggang dibahagian belakang, manakala sahabat saya yang menunggang motosikal tersebut. Kemalangan tersebut berpunca daripada sebuah motorsikal lain melanggar lampu merah isyarat dan terus melanggar kami yang melalui jalan tersebut ketika lampu isyarat hijau. Ketika itu saya dan sahabat dalam perjalanan ke pusat tuisyen pada waktu malam. Kemalangan itu boleh dikatakan teruk juga tetapi saya bernasib baik. Malangnya sahabat saya dimasukkan ke dalam wad ICU di sebuah hospital di Kelantan kerana keadaannya kritikal dan kian pulih selepas lebih kurang empat hari.”

3. Fahrin Ahmad

FahrinGambar: Fahrin Ahmad

“Masa saya berumur 15 tahun, saya bersekolah di sekolah berasrama di SMK Agama, Segamat Johor. Orang Johor cakap sekolah Maahad. Ketika saya di sekolah itu, saya seorang yang aktif dalam aktiviti sukan sekolah. Disebabkan terlalu aktif bersukan dan bapa saya tidak boleh ‘monitor’ kelakuan dan aktiviti yang saya lakukan, jadi bapa saya mengambil keputusan untuk memindahkan saya ke Maktab Sultan Abu Bakar atau juga dikenali sebagai English College Johor Bahru. Masa itu saya agak sedih dengan keputusan yang bapa saya ambil iaitu dengan memindahkan saya semula ke Johor Bahru iaitu juga tempat kelahiran saya. Tetapi selepas pindahnya ke English College pada tahun yang sama ketika saya berumur 15 tahun, saya telah dilantik sebagai seorang kapten kepada kumpulan ragbi di sekolah itu. Bahkan saya juga diwakilkan untuk bermain di peringkat negeri. Saya aktif bermain ragbi sejak dari ketika itu juga sehinggalah dua tahun lepas. Bagi saya memori itu lebih menjadikan saya berdisiplin dan dikawal oleh ibubapa sepenuhnya.”

4. Nik Michael

NikGambar: Instagram Nik Michael

“Usai 15 tahun pada tahun 2004, saya sedari bahawa perempuan suka akan lelaki yang memasak. Saya yang sememangnya sudah mula memasak ketika itu terus membuat keputusan untuk menceburi bidang masakan secara serius. Saya belajar memasak di rumah menerusi bapa yang juga merupakan seorang chef profesional di Australia. Selepas menetap di Malaysia, bapa saya beralih ke bidang perbankan dan sering memasak untuk client dan kawan-kawannya di rumah. Semasa kecil saya sering tolong dia kemas meja makan, angkat pinggan, potong bawang dan seterusnya semasa berumur 15 tahun, saya yang akan masak dan bapa bersembang dengan kawan-kawan. Itulah titik bermulanya karier saya.”

5. Qi Razali

Qi2Gambar: Instagram Nelydia Senrose

“Waktu itu tahun 1992. Impian saya untuk menjadi rockstar menjadi kenyataan apabila saya bertemu Radhi di pusat tuisyen seterusnya membawa kepada penubuhan kumpulan OAG. Semasa semua orang sibuk dengan peperiksaan SRP, kami aktif pergi jamming. Tapi semuanya berbaloi sebab kami dapat buat persembahan depan orang ramai, pergi majlis anugerah dan dapat masuk studio rakaman seterusnya terlibat dalam pembikinan album yang dilancarkan pada tahun berikutnya.”

Share via
Copy link