“He made me believe that I should stop dan tinggalkan dunia lakonan.” – Fazura

Pabila dua bintang popular tanah air bercakap soal cinta, adakah ada cinta di antara mereka? Ikuti temu bual pengarang EH! bersama Fattah Amin dan Fazura.

 

 

#FATTZURA mencetus fenomena. Saya melihat dan mungkin mengalaminya sendiri. Saya tak sangka gambar belakang tabir (biarpun hitam putih dan kabur-kabur) yang saya muat naik di instastory usai penggambaran muka depan ini menerima repost yang banyak dari penggemar fanatik gandingan duo ini. Itu belum lagi video instastory yang dimuat naik orang lain, juga gambar dari monitor komputer (yang sepatutnya jadi eksklusif, private and confidential) turut dimuat naik di media sosial hari yang sama, pastinya mendapat lebih perhatian. Hinggakan saya rasa perlu ada syarat-syarat tertentu ditetapkan untuk penggambaran akan datang.

 

Fattah Amin dan Nur Fazura, dua nama yang menjadi perhatian sepanjang Ramadan lalu. Saban minggu, empat jam dalam seminggu peminat drama Melayu seakan khayal melihat babak romantik dua figura ini menerusi drama Hero Seorang Cinderella. Bersiaran di saluran Astro Ria, naskhah yang diadaptasi daripada novel ini diarahkan oleh Michael Ang. Jadi rasanya mengapa tidak kami sajikan sesuatu yang istimewa buat pembaca EH!, Fazbulous Warrior dan Fattah Amin Team dalam meneruskan momentum #FATTZURA.

 

NUR FAZURA

 

 

Hari ini khalayak melihat Fazura bukan pelakon biasa-biasa. Tangannya sudah menggenggam trofi pelakon wanita terbaik dan juga pelakon filem wanita popular, dia membuktikan kredibilitinya dalam bidang yang dicintainya ini. Dia menang undian peminat juga menawan hati juri profesional, jadi dia pelakon yang ‘menang’ serba-serbi. Dan Fazura masih belum puas, dan masih jauh lagi kembara seninya, dia belum mahu menoktahkan langkahnya.

 

Saat ditanya apa yang mahu lagi dicapai dalam bidang ini, pantas dia membalas, “Saya belum puas lagi berkarya. Saya tidak melihat anugerah harus menjadi penyudah kerjaya hanya kerana kita sudah berjaya buktikan kemampuan kita. Banyak lagi yang mahu saya terokai dalam dunia lakonan, saya mahu kebolehan saya ini dikembangkan bukan sahaja di Malaysia malah negara-negara jiran, Indonesia dan Filipina misalnya. Facing Up to Fazura telah membuka jalan nan luas bagi saya. Dalam tak sedar siri realiti itu berjaya mengumpul peminat-peminat baru sekaligus membuka ruang untuk saya berkarya di luar negara.” Tambah Fazura lagi, jika diberi masa dia mahu menyertai kelas lakonan di bawah telunjuk aktivis teater ternama, Normah Nordin. “Dan jika berkelapangan mahu sekali belajar ilmu seni lakon di New York atau Los Angeles.”

 

“Bila Faz sedar dan tahu yang Faz boleh berlakon? Ada penyanyi semuda enam tujuh tahun sudah berasa ada bakat nyanyian. Bagaimana dengan Faz?”

 

“From my first take. Sebelum Bicara Hati saya hanya pernah berlakon iklan yang pada saya bukanlah gelanggang yang tepat untuk saya menyedari apa yang saya ada. Tapi dalam Bicara Hati, sebaik saja Mak Nani kata ‘cut’ untuk scene sulung saya, dari situlah saya mula sedar yang saya ada kebolehan itu. Dan bila menang pula anugerah Pelakon Harapan di Festival Filem, keyakinan saya bertambah. Dari filem pertama itu orang sudah berikan perhatian, jadi saya fikir ia sesuatu yang harus saya teruskan.”

 

Akui Fazura lagi, Mak Nani punya aura yang menyakinkan dia untuk terus berlakon kerana sebelum itu ada beberapa tawaran datang dan dia menolaknya.

 

Sudah puluhan filem mahupun drama, Fazura berpendapat lakonannya dalam filem Gol & Gincu adalah yang naskhah awal yang membuktikan kebolehannya sebenar.

 

“Bernard Chaulay seorang pengarah yang bagus, dia menggali apa yang ada dalam diri saya.”

 

Dan bila bercakap tentang Bernard (yang juga merupakan pengarah kesukaan saya), kata Faz dia akan kembali bekerjasama dengan pengarah itu untuk satu telemovie istimewa yang bakal menjalani penggambaran di Iran bulan hadapan. Naskhah ini bakal menyaksikan gandingannya bersama seorang pelakon dari sana.

“How does it feel to be where you are in your life right now?” saya terus bertanya.

 

“I feel content, gembira, lebih yakin dan tiada perkara-perkara yang membimbangkan saya. Saya percaya apa sahaja yang berlaku dalam hidup saya semuanya sudah tertulis dan saya menerimanya. Macam orang selalu bertanya, bila saya mahu berkahwin, umur dah 33 tahun. Tapi saya tidak menganggap itu saya soalan yang membebankan, saya akan berkahwin bila jodoh saya sampai. Dan kerana belum berkahwin saya diberi banyak ruang untuk memberi fokus kepada kerjaya saya, melakukan apa-apa sahaja yang saya suka. Macam saya cakap tadi, saya cukup gembira dengan perjalanan kehidupan saya hari ini.”

 

Beralih ke dunia nyanyian, saya meminta reaksi Fazura tentang kritikan juga komen orang di luar sana yang masih mempersoalkan keputusannya mahu bergelar penyanyi. Biarpun sudah beberapa single dilancarkan dan lagu-lagunya diterima baik malah menjuarai carta iTunes Malaysia beberapa kali, namun masih ada yang tidak menghargai usahanya meluaskan cabang seninya itu.

 

“It’s very tough question. Saya rasa saya saja tahu mengapa saya mahu menjadi penyanyi. Ia adalah impian saya sejak dulu lagi, angan-angan yang datang lebih awal sebelum saya jadi pelakon lagi. Saya adalah fighter, learner dan dalam hidup saya anggap diri saya adalah student sampai bila-bila. I’m striving. Saya lihat saya ada tanggungjawab untuk merealisasikan impian saya sendiri. Apa salahnya?”

“Seperti saya katakan tadi selama-lamanya saya anggap diri saya pelajar. Dari masa ke masa saya akan terus memperbaiki mutu nyanyian saya. Saya akan terus mencari lagu yang bersesuaian, yang seiring dengan kemampuan saya.”

“Was there a time when you wanted to give up?” saya beralih soalan yang lebih peribadi. “Never!,” pantas jawabnya.

 

“Oh mungkin sewaktu saya menjalin hubungan dengan seseorang sebelum ini. He made me believe that I should stop dan tinggalkan dunia lakonan. And I did, saya tinggalkan kerja saya selama empat tahun. Tapi kemudian saya bangkit, dari cheeleader menjadi striker. Tapi saya tak pernah menyesal. Itu adalah pengalaman. This is my journey. Saya masih punya banyak benda yang mahu saya lakukan, dan biarlah apa saja yang saya buat itu dilakukan atas kemahuan sendiri bukan kerana memenuhi kehendak masyarakat. I belong to the society, itu sudah cukup besar bagi saya, but I don’t want to do apa yang masyarakat mahukan.”

“Did you ever feel threatened?” saya bertanya lagi.

 

“Tidak pernah. Saya percaya kalau kita ada persaingan kita takkan berasa tenang. Apa yang penting ialah kita buat yang terbaik. Saya mahu orang ingat saya atas bakat saya. I want people remember me for my integrity, not for my controversies and for appearing wealthy.”

 

“Apakah benda yang menakutkan Faz?”

 

“Allah dan mati,” singkat jawabnya.

“IF I DIE TODAY, I’LL BE HAPPY.”

“How do you define yourself spiritually?” tanya saya.

 

“Spiritually? Susah juga ya soalan-soalan you hari ni?” balasnya dan terus ketawa.

 

Seronok berbual dengan Fazura kerana saya tahu dia akan cuba menjawab tiap soalan sejujur mungkin. Dan kerana itulah soalan-soalan saya pagi itu banyak berbicara tentang hal-hal diri yang mungkin tak pernah ditanyakan.

 

“I’m very content dan yakin dengan masa depan. Saya tidak ada rasa gentar, hubungan saya dengan Tuhan membuatkan saya tenang. Dalam hidup saya berpegang prinsip buat baik dibalas baik, begitu sebaliknya. Saya manusia, pastinya ada berbuat bermacam-macam silap tapi saya pastikan apa saja yang saya mahu buat perlu ada good intention. Dan itulah yang orang tua saya selalu ingatkan, jika kita ada niat tak baik, niat tak baik itu akan datang balik pada kita. Pada usia begini saya belajar untuk jadi seorang yang lebih tenang dan berasa yakin dengan apa yang saya mahukan dalam hidup. Saya rasa 30’s is the new 20’s, dan 40’s is the new 30’s.”

“What’s the best thing you’ve heard about yourself?”

 

“Bila penonton memberi reaksi tentang karya-karya saya, bila mereka terinspirasi menerusi watak-watak yang saya lakonkan, begitu juga dengan lagu-lagu saya. If I die today, I’ll be happy.”

 

“Bagaimana pula sebaliknya? Apa yang paling teruk yang Faz pernah dengar tentang diri Faz?”

 

“Bila orang kata saya buat macam-macam pembedahan plastik termasuklah bila ada someone’s mom kata saya ratakan gigi. Dan dia tulis komen itu di media sosial.”

Bila ditanyakan tentang impiannya hari ini, Fazura berkata dia hanya mahu berasa gembira, lebih gembira dari hari-hari sebelumnya.

 

“Apa yang membuatkan saya gembira ialah pabila saya dapat membuatkan orang lain berasa gembira.”

 

Pabila ditanyakan tentang cara dia melepaskan rasa sedih dan marah, Fazura membalas solat.

 

“Ya, jawapan yang saya bagi sangat klise,tapi siapa yang dapat nafikan kebenaran itu. Hanya pada Allah sajalah kita berdoa dan mengadu. Itulah jalan terbaik. Kita kena redha dan sentiasa percaya pada perancangan Allah atas tiap-tiap apa yang berlaku.”

 

Soalan terakhir saya pada hari itu berkaitan perhubungan. Oh tidak, saya tidak tanyakan adakah dia dan Fattah benar-benar menjalin hubungan istimewa atau sebaliknya, kerana saya percaya benar atau tidak, biarlah tuan badan ceritakan sendiri tanpa perlu ditanya-tanya. Tapi jika orang tanya saya, ya saya rasa ada sesuatu yang istimewa di antara mereka. Eh, I could be wrong… hahaha.

 

“Apa yang penting dan wajib ada dalam satu-satu perhubungan?” celah saya.

 

“Kita perlu celebrate individuality. Kita kena terima baik buruk. We compromise not compensate. Of course some changes need to be made but kita perlu compromise,” jawabnya menoktahkan temubual.

FATTAH AMIN

 

Biar kembara seninya masih hijau, baru mencecah usia sekitar empat ke lima tahun, namun penangan Fattah Amin bukan calang-calang. Deretan anugerah sudah digondolnya terutamanya tahun ini yang mana menyaksikan dia naik turun pentas meyambut trofi kemenangan di Anugerah Meletop juga Anugerah Bintang Popular.

Momentumnya berterusan, selepas mencetus fenomena menerusi gandingannya bersama Neelofa di dalam Suri Hati Mr Pilot, namanya terus mekar pabila gandingannya bersama Fazura menerusi Hero Seorang Cinderella turut mencetus kegilaan tersendiri.

 

Kata Fattah dia dan Fazura akan sekali lagi digandingkan untuk satu telemovie, Wanita Terindah. Naskhah terbitan produksi Red Communications itu tampil istimewa pabila sebahagian penggambarannya dilangsungkan di Maldives. Khabarnya juga dia akan muncul dalam satu drama bersiri baharu menggandingkannya bersama Janna Nick pula.

Saya sudah beberapa kali bekerjasama dengan Fattah, dan jika dinilai berdasarkan pemerhatian peribadi, saya simpulkan dia seorang yang tidak banyak cakap, senang bersendiri, senang kata dia seorang introvert. Saya tanyakan Fattah bagaimana dia membina chemistry dengan ‘lawan’ lakonannya dalam keadaan sisi diri yang lebih senang berdiam diri.

 

Kata Fattah, susah sebenarnya dia mahu mencipta chemistry, tidak mudah dan tidak berlangsung pantas.

 

“Saya selalu buat hal sendiri bila di set. Tapi demi chemistry saya buka ruang untuk banyakkan komunikasi dengan pasangan lakonan saya. Saya bukan jenis orang yang pada hari pertama di set sudah boleh ‘klik’ dengan semua orang. Seperti saya dan Faz, ia ambil masa kerana saya perlu banyak berbual dengannya. Dan kerana lebih banyak pengalaman, jadi perkongsian tip memudahkan chemistry itu dicipta. Saya seorang yang lebih senang memerhati, melihat rentak orang lain sebelum bergaul atau mendekati.”

 

Fattah mengakui sikapnya yang terlalu pendiam itu adakalanya tidak bagus untuk dirinya, namun dia hanya mahu kekal menjadi diri sendiri. Sejak menyertai Hero remaja lagi, orang di sekeliling sudah masak dengan personalitinya itu.

 

“Kalau orang tak kenal orang akan kata saya sombong. Tapi saya memang begitu, adik-beradik saya yang lain pun berkongsi personaliti yang sama. Saya rasa didikan ibu dan ayah menjadi faktor utama, kerana sejak kecil sudah dididik begitu. Kalau kami ke rumah orang, kami akan duduk diam, tak seperti budak-budak lain yang akan terus bergaul dan bermain. Kami akan duduk satu tempat saja,” katanya ketawa.

 

“Tapi belum pernah lagi saya dengar sikap pendiam saya ini menyusahkan orang lain lebih-lebih lagi pihak produksi. Saya juga tak nafikan sifat pemalu saya sedikit sebanyak menyukarkan juga membataskan kebolehan saya berlakon, saya mungkin perlu lebih masa dan ruang untuk sesuaikan diri tiap kali bermula dengan projek baru berbanding orang lain. I just being myself, dan saya percaya end of the day orang akan terima diri saya seadanya. Saya tak mahu berubah semata-mata mahu memenuhi kehendak orang lain kerana andai kata saya tiba-tiba berubah secara mendadak, orang percaya itu bukan diri saya.”

 

“PERASAAN SAYA, SAYA SIMPAN SENDIRI.”

 

“Jika ada sebarang isu atau masalah, saya lebih senang menggunakan media sosial, tapi dalam cara yang betul. Saya tak pernah gunakan ruang itu untuk menyindir orang, paling habis saya sekadar letakkan quote saja untuk meneutralkan mana-mana isu atau kontroversi. Kita tahu ada benda-benda yang dihebahkan itu satu fitnah dan saya lebih selesa untuk tidak berikan sebarang komen kerana boleh jadi ia akan berpanjangan. Kadang-kadang saya rasa muat naik quote itu berkesan untuk saya. Media sosial berkesan untuk kita sampaikan satu-satu mesej kerana audiensnya luas.”

 

“Orang susah nak baca perasaan saya, saya sedih atau gembira sukar nak ditelah kerana saya selesa menyimpan semua perasaan untuk diri sendiri. Orang kata saya jujur tapi memang susah untuk sesiapa meneka apa yang saya rasa. Jika saya ada masalah sekalipun, konflik keluarga atau perhubungan saya tidak ekspresikan secara umum, tapi bagi saya itulah yang indahnya. Perasaan saya, saya simpan sendiri.”

 

“Fattah suka menyimpan perasaan sendiri, jadi jika marah atau tertekan bagaimana melepaskannya?”

 

“Macam-macam, bergantung keadaan dan situasi. Saya ada gim, jika di sana saya akan luangkan masa di sana, work out. Jika di rumah saya melepaskannya dengan bermain PS4, dan andai di dalam kereta saya akan mendengar lagu, jika ada masa saya bermain futsal. Itu antara terapi saya. Dan jika tak berkesan barulah saya kongsi dengan parents, kawan rapat atau special one.”

 

Lumrah, bila ramai yang suka, jumlah sebaliknya juga bertambah. Haters itu lumrah, mustahil untuk semua orang menyenangi kita. Itu situasi sama yang dilalui penerima trofi Bintang Paling Popular 2016 ini.

 

“Bagi saya itu satu perkara yang normal, ada orang suka, ada orang tidak suka. Pada saya cukuplah kita buat dan cakap yang baik-baik. Memadailah kita sendiri tahu apa yang kita buat (berbuat baik) kerana haters still haters.”

 

Fattah, permata sulung ibu dan ayahnya, punya lima adik-beradik semuanya dan sejak dulu lagi dia tidak pernah memuat naik gambar keluarganya di media sosial jauh sekali bercerita tentang keluarganya. Namun kata Fattah sejak dia membuka kafe, sedikit sebanyak telah membuka gelanggang untuk peminat mendekati keluarganya kerana ibu dan ayahnya yang banyak menguruskan operasi kafenya itu.

 

“Situasi ini sebenarnya sedikit-sebanyak membuka ruang untuk ibu dan ayah saya memahami bagaimana kerja saya. Mereka lihat sendiri bagaimana peminat sanggup menunggu sehingga tengah malam semata-mata mahu bergambar dengan saya. Malah ada peminat yang panggil my parents ayah dan ibu. Ada juga yang tidak dapat bergambar dengan saya tidak mengapa, cukuplah bergambar dengan ibu dan ayah.”

 

Tambah Fattah lagi, peminat adalah tunggak utama kejayaannya hari ini.

 

“Anugerah yang saya terima semuanya atas usaha peminat. Kemenangan saya atas kertas undi yang diusahakan peminat. Kalau boleh saya mahu patah-patahkan trofi yang saya dapat dan bagi sama rata kepada semua peminat. Sehabis baik saya akan cuba luangkan masa dengan peminat, sepenat mana sekalipun saya rasa saya ada tanggungjawab untuk melayan mereka.”

 

Kata Fattah dia dan pihak pengurusannya sentiasa mencari ruang untuk menganjurkan sesi meet and greet. Baginya itu adalah satu cara paling mudah untuk dia mendekati peminat.

 

“Ini usaha saya untuk dekatkan diri juga menghargai mereka.”

Dalam industri seni lakon kita, ada sebahagian pelakon seakan sudah menetapkan exclusivity mereka sendiri, ada yang lebih senang untuk muncul di layar lebar sahaja (filem) dan jarang sekali muncul di dalam drama. Saya berikan contoh Maya Karin, jika mahu melihatnya penonton perlu menantikan filem barunya dan tonton di panggung. Fattah pula saya lihat wajahnya lebih mesra kaca televisyen.

 

Namun jelas Fattah dia tidak pernah meletakkan sebarang keistimewaan, baginya penerimaan satu-satu tawaran tetap bergantung pada kekuatan naskhah itu sendiri.

 

“Saya menilai skrip, melihat siapa pengarahnya, juga produksi serta dengan siapa saya digandingkan. Bagi saya elemen-elemen itu lebih penting daripada memikirkan ia sebuah naskhah filem atau drama.”

 

Biarpun dua siri lakonannya mencetus fenomena namun itu tidak bermakna Fattah bebas kritikan. Sebahagian penonton melabelkan dia ‘kayu’ kerana kualiti lakonannya tidak mencapai paras terbaik atau memuaskan. Namun ada juga yang melihat ada perkembangan positif jika dinilai menerusi Hero Seorang Cinderella.

 

Saya meminta Fattah menilai sendiri kualiti lakonannya. Bagaimana dia mahu rate prestasinya.

 

“Oh saya tak pernah meletakkan rate atas kerja sendiri. Bagi saya itu tugas pengarah dan penonton. Pengarah khususnya yang melihat perkembangan kerja saya. Orang berpengalaman atau senang kata pelakon senior juga berhak untuk menilai saya, tapi bukan diri saya sendiri.”

 

Bila berbicara tentang impiannya hari ini, sebagai pelakon pastinya dia memasang angan-angan mahu menggenggam trofi pelakon terbaik, dan dia mengakui untuk merealisasikan cita-citanya itu bukan satu kerja mudah.

 

“Saya mahu jadi seperti Beto Kusyairy dan Bront Palarae. Kejayaan mereka adalah inspirasi saya. Saya tahu untuk capai seperti apa yang mereka sudah capai bukan mudah, namun saya akan usahakan. Dalam masa yang sama saya mahu jadi successful businessman.”

 

Saya mengajak Fattah berbicara sedikit tentang sisi peribadinya. Pabila ditanyakan tentang tiga perkataan yang tepat menggambarkan dirinya dia hanya mampu memberikan satu, “Saya introvert,” ujarnya.

 

“Yang lain-lain saya tidak pasti. You rasa apa lagi perkataan menggambarkan diri I,” tiba-tiba dia mengusulkan soalan itu kepada Fazura yang sedang dirias Khir Khalid.

 

“Saya rasa Fattah orangnya penyabar. Dia juga generous,” balas Fazura sambil matanya memandang redup ke arah saya dan Fattah dari cermin solek.

“Okey, apa perkara paling penting dalam memastikan kerharmonian satu-satu hubungan itu?” soal saya ringkas.

 

“Dalam perhubungan saya berpegang kepada lima benda, dan lima benda ini pada saya mesti ada. Perlu ada persefahaman, tolak ansur, perlu ada perasaan kasih sayang, percaya dan paling penting kita mesti ada rasa tanggungjawab.”

 

Ya, lima benda itu saya lihat sebagai perkara pokok dalam membina perhubungan, tanpa salah satunya sukar untuk mengekalkan momentum perhubungan itu. Fazura, awak setuju?

 

Share via
Copy link