“The Sky Is The Limit And I Have Nothing To Lose.” – Naim Daniel

Fotografi : Arifah Hadirah / Teks & Penyelaras : Anis Hanini / Arahan Seni : Khairani Ramli / Grooming : Ummi Nasir  / Pakaian : Fendi, COS & GUESS

Penyanyi baru penuh berbakat ini mencaturkan perjalanan kariernya sejak berusia lapan tahun dan akhirnya kini berjaya mencuri perhatian pendengar-pendengar muzik lokal.

Pengikut Naim Daniel di laman media sosial Instagram sekarang adalah 793 ribu namun masih ada yang tertanya-tanya siapakah geranggan penyanyi muda ini. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Naim Daniel sebenarnya telah menapak dirinya dalam industri hiburan tempatan sejak dia berusia 8 tahun lagi. Kelibatnya dalam industri hampir 13 tahun ini bermula sebagai seorang pelakon termasuk untuk drama ‘Cucu Bentong’ dan ‘Gemilang’, filem ‘2 Hati 1 Jiwa’ dan ‘Bisik Pada Langit’ serta telefilem Sebelum Kiamat dan Ketika Daun Berzikir. “Saya tidak berhenti berlakon pun namun tawaran untuk berlakon semakin lama semakin berkurang. Apatah lagi pabila saya mula menyambung pelajaran, ia rumitkan lagi keadaan. Mungkin juga saya tidak kontroversi atau tidak good looking enough!” seloroh jejaka 22 tahun ini.

Pada hari penggambaran ini, Naim bersama ibu dan adik beradiknya sampai ke studio lebih awal dari yang dijanjikan dan sepanjang penggambaran pula, dia amat mudah untuk bekerjasama. Berdasarkan pengalaman peribadi saya, penyanyi baru yang tiba-tiba sahaja menjadi terkenal dan nama sering diucap oleh media-media tempatan bukan senang untuk bekerjasama apatah lagi ada sahaja yang pernah tidak hadir langsung ke penggambaran dan tidak dapat dihubungi lagi selepas itu. Naim akui dia seringkali perlu mengingatkan dirinya untuk jadi diri sebenar. Katanya “Rome tidak dibina dalam satu hari, walaupun perjalanan karier saya lambat namun ia tampak solid dan bagi saya ia tidak mengapa kerana sekiranya saya naik terlalu pantas, nanti pabila saya jatuh ia akan menjadi sakit. So I want to keep it this way. Saya juga perlu berterima kasih kepada support system saya yang sering mengingatkan saya untuk jadi diri dan ingat bahawa kita bukan senang dulu dan perlu ingat roots kita sebelum nama naik.”

 

Sebelum ini Naim pernah hadir dalam industri muzik dengan single sulung berjudul Sekali Lagi yang bertemakan cinta terhadap keluarga yang berjaya menjadi tular di Youtube dengan tontonan lebih sejuta kali dalam tempoh dua minggu. Pada hari artikel ini ditulis, Sekali Lagi telah ditonton sebanyak 4.9 juta manakala Sempurna pula bertindak sebagai singlenya yang kedua yang berkisah tentang cinta terhadap diri sendiri juga mencapai tontonan sebanyak 2.5 juta. Menjelang tahun 2019 pula, Naim meletak harapan tinggi pada single terbaru, Sumpah yang dilancarkan pada 19 April lalu. Menurut Naim, lagu tersebut berjaya mencapai tempat pertama di carta iTunes dalam kurang 12 jam dan berjaya trending tempat pertama di Youtube dalam masa dua hari. “Alhamdulillah dan apa yang mengejutkan adalah Sumpah mendapat tontonan 1 juta dalam masa empat hari! Tahun ini juga saya merancang untuk melancarkan album debut yang mungkin keluar pada September nanti,” jelasnya.
Cita-cita Naim untuk melancarkan album bagi saya adalah satu yang besar apatah lagi rata-rata penyanyi kita kini jika ditanya lebih selesa untuk melancarkan single sahaja. “Saya ingin hadir dalam industri muzik ini sebagai artis rakaman, bukan sebagai penyanyi semata-mata dan bagi saya rasa tidak lengkap sebagai seorang penyanyi namun tidak melahirkan album sendiri. Bagi saya album bertindak sebagai bench mark untuk saya menjadi seorang artis rakaman. Buat masa sekarang album masih dalam perancangan namun ia genre pop dan akan diselitkan beberapa lagu balada termasuk Sumpah. Apa yang saya boleh kongsikan buat masa sekarang adalah ada 10 lagu dalam album ini dan kami akan melancarkannya di platform digital manakala untuk album fizikal pula kami akan jual dalam kuantiti minimal,” katanya.

Transisinya sebagai seorang penyanyi daripada lakonan juga sesuatu yang hadir secara semula jadi bagi dirinya. “Saya part time bathroom singer sejak kecil lagi!” selorohnya. “Sebenarnya saya dari kecil lagi minat dalam muzik dan amat hargai semua genre muzik di dunia ini. Saya tidak pernah restrict diri sendiri untuk hanya mendengar genre pop hanya kerana saya ingin menjadi penyanyi pop. Namun apa yang membuatkan saya ingin terjun lebih mendalam dalam industri muzik adalah setelah saya memohon untuk masuk universiti tempatan di Fakulti Muzik. Tidak disangka saya berjaya masuk sedangkan saya tidak ada asas muzik langsung sebelum ini. Bahkan saya amat bersyukur pabila berjaya mendapat Anugerah Dekan empat semester berturut-turut. Setelah saya mula terlibat dalam industri muzik, nyanyi cover songs dan terlibat dalam produksi, mula syarikat rakaman melamar saya. Saya selalu ingat pesan ayah bahawa jangan sekat diri sendiri. Lihat sahaja kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee. He’s not just an actor, he’s a singer, composer, lyricist. The sky is the limit and I have nothing to lose. Jadi ia menguatkan lagi semangat saya untuk kekal dalam industri ini,” tambahnya lagi.

 

Puisi oleh Zahiril Adzim dan A Samad Said menjadi bacaannya kala dia mencari inspirasi untuk menulis lagu-lagu baharu selain memerhati situasi yang terjadi dengan matanya sendiri. Selain menulis lagu untuk dirinya, Naim juga mengembangkan lagi bakat dengan menulis lagu buat orang lain termasuk Alvin Chong untuk lagu berjudul Tajam. “Buat masa sekarang lagu Sumpah adalah lagu paling peribadi yang saya pernah tulis. Ia ditulis pada tahun 2015 when I was at my lowest dan pabila lagu itu dikeluarkan, saya seringkali berpesan kepada peminat dan pendengar bahawa lagu ini adalah lagu yang cukup istimewa bagi saya, just please take care of it. Ia seakan-akan seperti saya membebaskan sebahagian diri saya kepada umum,” kata Naim yang turut meminati Hael Husaini, Noh Salleh, Ismail Izzani dan Bazzi.

“Saya percaya bahawa silent killer untuk setiap artis dalam industri ini adalah comfort zone. Jadi jika anda termasuk dalam fasa ini, please wake up. Saya juga sering memberitahu diri sendiri bahawa I have to do more kerana walaupun saya telah berada dalam industri ini sejak usia 8 tahun, namun hanya pada usia 22 tahun saya mula dikenali. Ia ibaratkan saya mendapat peluang kedua jadi apa yang saya rasa selama ini termasuk rejection membuatkan saya ingin bekerja lebih keras. Saya rasa this limelight yang saya dapat hanya 2 peratus sahaja yang saya rasa. Saya tegas dengan diri sendiri bahawa walaupun sekarang nampak semakin berjaya namun I have to stay hungry everyday untuk lebih berjaya 10, 20 tahun akan datang,” jelasnya lagi.

 

Sempat saya bertanya padanya sepanjang kariernya pernah dia rasa tidak selesa atau perlu berhenti seketika. Dengan tenang dia jawab, “most of the time, I’m stressed out!” diikuti dengan ketawa kuat. “Sebelum saya mengeluarkan single, setiap malam saya akan lalui panic attack yang mana saya akan menangis seorang diri. Kata-kata what if seringkali menjadi igauan dan saya juga perlu sentiasa ingatkan diri bahawa everything will be alright. Saya percaya setiap orang bekerja dalam creative time zone masing-masing. Kita tidak pernah lambat atau cepat. Mungkin perjalanan karier orang lain lebih pantas daripada kita namun ada masanya kita pula di hadapan, dia pula baru berkejar-kejaran. Ada orang pernah tanya kenapa nama saya lambat naik. Bagi saya rezeki tidak pernah salah alamat dan buat masa sekarang rezeki sudah tiba di alamat yang sepatutnya. Saya juga akui bahawa saya seorang yang fragile. Orang pernah berkata bahawa saya tidak terlibat dengan kontroversi dan terlalu baik jadi mereka mencadangkan saya cipta sesuatu untuk tarik perhatian. Namun saya fikir jika saya lakukan semua ini adakah saya akan berjaya berpatah balik atau menjadi lebih teruk daripada yang dipinta? Oleh sebab itu saya anggap industri hiburan ini sebagai ranjau letupan darat dan saya perlu 1000 peratus berhati-hati dengan apa sahaja yang berlaku di sekeliling saya kerana kita tidak boleh percaya semua orang dengan mudah,” jelasnya menutup bicara.

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link