Lelongan Sos Tomato Bertatu Ed Sheeran Raih Lebih RM18,000

Gambar: foodandwine.com

 

Sebut sahaja jenama Heinz, pasti seluruh dunia terbayang akan keenakan sos tomatonya. Terbaru, tiga botol sos tomato Heinz edisi terhad yang memahat corak tatu penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran berjaya dijual dalam satu lelongan di London.

 

Lebih menarik, lukisan corak tatu pada 150 botol sos tomato edisi khas yang diberi nama, Ed Sheeran X Heinz Tomato Ketchup itu menggunakan dakwat yang sama pada tatu penyanyi berkenaan.

 

Memetik laporan media tempatan, tiga botol pertama berjaya dijual dengan harga 1,050 pound (RM5,323.87), 1,100 pound (RM5,577.39) dan 1,500 pound (RM7,605.53).

 

Gambar: thedrum.com

 

Dalam pada itu,  pengarah hal ehwal korporat Kraft Heinz, Nigel Dickie berkata, sebanyak 150 botol dikeluarkan dan dijual di seluruh dunia sempena meraikan ulang tahun ke-150 jenama sos tersebut.

 

Tambah beliau, 104 botol daripada jumlah asal tersebut akan menjadi hadiah dalam cabutan percuma global, manakala selebihnya akan dilelong kepada peminat setia Ed Sheeran dan Heinz atau di simpan di muzium.

 

 

Kesemua kutipan hasil jualan botol tersebut akan disumbangkan kepada East Anglia’s Children’s Hospices, badan kebajikan yang dicadangkan Sheeran dan Rise Against Hunger serta disokong Heinz.

 

Untuk rekod, penyanyi berusia 28 tahun itu merupakan peminat tegar sos berkenaan, malah turut mencacah label “Heinz tomato Ketchup” pada lengannya.

 

 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link