Kemenangan Parasite, Adakah #OSCARSOWHITE Masih Kuat?

Teks: Anis Hanini

Anugerah Akademi meraikan kehebatan barisan pelakon-pelakon Hollywood yang berjaya membawa watak mereka menjadi realiti.

(Mengikut pusingan arah jam) Pemenang-pemenang kategori utama Anugerah Akademi ke-92 Joaquin Phoenix, Renee Zellweger, Laura Dern dan Brad Pitt

 

Anugerah Akademi atau lebih mesra dengan panggilan Oscar adalah anugerah untuk merit artistik dan teknikal dalam industri perfileman. Ia juga anugerah yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh dunia dan juga merupakan anugerah pengiktirafan lakonan buat seorang pelakon. Organisasi khas Academy of Motion Pictures Arts and Sciences (AMPAS) mempunyai lebih 7,000 ahli bertindak untuk mengundi individu, lagu mahupun filem yang mereka rasa layak untuk menerima Oscar ini. Namun bukan calang-calang individu dapat menyertai AMPAS. Mereka harus dijemput masuk oleh Board of Governors bagi pihak Academy Branch Executive Committees.

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Los Angeles Times pada tahun 2012, ketika itu ada lebih kurang 5,100 ahli yang mana 94 peratus adalah individu berkulit putih, 77 peratus lelaki dan 54 peratus berusia 60 tahun manakala hanya 33 peratus adalah mereka yang pernah tercalon sebelum ini dan 19 peratus pula pemenang Akademi.

Logo Anugerah Akademi

Berdasarkan kajian ini, amat tidak mengejutkan sekiranya pelakon berkulit putih mendominasi pencalonan Anugerah Akademi namun jika dilihat sekarang semakin banyak suara lantang cuba memecah tradisi tersebut dan sekaligus mengangkat individu warna kulit lain ke mata umum. Pabila pencalonan BAFTA 2020 diumumkan, empat kategori utama iaitu Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – kesemua pelakon tersebut adalah individu berkulit putih.

Jadi pabila pencalonan Anugerah Akademi 2020 diumumkan, seluruh dunia mengharapkan satu perubahan seperti yang diuar-uarkan di media sosial namun sekali lagi, ternyata tertewas. Sememangnya pencalonan setiap anugerah boleh dijangkakan kerana bukan sahaja mereka berjaya menjiwai watak, malah kempen dan pemasaran yang dilakukan dengan baik untuk tampakkan mereka sebagai individu berguna juga dilancarkan dengan penuh teliti.

Filem The Farewell lakonan Awkwafina, Tzi Ma, Zhao Shuzhen.

Setelah pencalonan Anugerah Akademi ke-92 dikeluarkan, ramai yang menyuarakan kejutan pabila Awkwafina tidak tercalon untuk Pelakon Wanita Terbaik buat drama ‘The Farewell’. Hakikatnya filem ini agak berjaya kerana ia telah menerima 151 pencalonan dalam industri perfileman dan telah berjaya memenangi 31 anugerah. Awkwafina sendiri menang Pelakon Wanita Terbaik – Muzikal atau Komedi di Anugerah Golden Globes serta Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Gotham yang seringkali dianggap anugerah yang mencerminkan pencalonan Anugerah Akademi.

Realitinya individu Asia sukar sekali untuk mendapat tumpuan di mata Hollywood kecuali jika mereka ditawarkan watak klise sama ada sebagai seorang penggoda jahat, teman baik, individu jahat yang pandai bertarung atau watak sampingan yang mudah dilupakan. Jujurnya bagi saya jika Awkwafina berjaya dinobatkan untuk Anugerah Akademi, dia secara tidak langsung seperti membuka peluang kepada individu Asia lain untuk cuba menempa dan menembus Hollywood.

Filem Parasite pula berjaya menjadi filem Korea Selatan pertama dinobatkan untuk Best Picture dan Best International Film di Anugerah Akademi ke-92. Setelah filem ini berjaya mengaut menang paling besar iaitu lima Anugerah Akademi untuk kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Filem Asing Terbaik, Adunan Bunyi Terbaik dan Lakon Layar Terbaik, ia merupakan satu keraian yang tidak dijangka dan sekaligus diangkat sebagai pembuka pintu untuk pelakon-pelakon Asia mengembangkan sayap mereka di perfileman antarabangsa apatah lagi Hollywood.

Adakah ini bermakna filem-filem Asia yang lain juga akhirnya mampu menembusi peluang di Hollywood dan adakah ini juga bermakna pelakon-pelakon Asia boleh berpeluang untuk memegang watak utama setimpal dengan bakat mereka bukan sekadar another forgetful face in a forgetful film? Hanya masa yang dapat mengesahkannya.

Namun sayang, belum sempat filem Parasite betul-betul meraikan kejayaan mereka, pelbagai hemburan negatif dilontarkan terutamanya bagi mereka yang enggan menerima hakikat bahawa filem Asia menang anugerah besar. Isu tentang bahasa asing menjadi penyebab utama ramai mengutuk filem ini dengan pedas sekali. Adakah mereka tidak sedar sebenarnya sikap malas mereka untuk membaca sarikata filem asing menonjolkan sisi mereka yang tulen? Bahawa mereka sebenarnya dalam diam adalah rasis.

Tangkap skrin tentang filem Parasite di laman Twitter

Industri kita juga harus bergiat dengan lebih hebat untuk menghasilkan kualiti, bukan sekadar bergantung kepada skrip slapstick dan pelakon-pelakon terkenal di laman media sosial sahaja. Bagi saya, kebanyakan pelakon-pelakon Malaysia pula amat berbakat namun sayang mereka tidak diberikan platform yang sebenar untuk menonjolkan bakat mereka ada. Di mana sebenarnya silap kita? Adakah sebenarnya ia silap industri lakonan yang enggan memberi peluang mahupun membuka mata kepada individu luar daripada circle mereka sahaja?

 

 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link