“Saya Tidak Cemburu, Rezeki Setiap Orang Berbeza,”- Ben Amir

FOTOGRAFI ROBIN / TEKS & PENYELARAS ANIS HANINI / ARAHAN SENI KHAIRANI RAMLI / GROOMING FENDI SANI / PAKAIAN ZARA, TOPMAN & COS

Siri ‘Sweet Dreams’ berjaya meletakkan nama aktor tinggi lampai ini membarisi barisan pelakon lelaki paling ‘viral’ sepanjang tahun 2019.

Pepatah Melayu berkata ‘biar lambat laga, asal menang’ sesuai sekali untuk menggambarkan perjalanan kerjaya pelakon berusia 29 tahun ini. Ben Amir mula menapak ke dalam industri hiburan pabila dia menyertai pertandingan Hero Remaja pada tahun 2012. Finalis Hero Remaja tahun tersebut antaranya Fattah Amin, Syafiq Kyle, Hafidz Roshdi, Nazrief Nazri, Hafreez Adam, Fendy Bakry dan Saharul Ridzwan yang berjaya mencuri perhatian umum dengan pantas sebaik sahaja pertandingan berakhir namun situasi Ben sedikit berbeza jika dibandingkan dengan mereka.

1) Kamu sudah lama berlakon dalam industri namun hanya drama ‘Sweet Dreams’ yang menaikkan nama kamu. Apakah perasaannya pabila mendapat tumpuan umum dan adakah kamu rasakan penantian tersebut akhirnya membuahkan hasil?

Walaupun perjalanan karier saya agak perlahan berbanding pelakon-pelakon lain, saya anggap pengalaman ini banyak mengajar saya. Sepanjang tujuh tahun, saya rasakan ini adalah masa saya. Ia tidak terlalu lambat mahupun terlalu cepat kerana saya takut jika saya naik terlalu pantas, nama saya juga akan malap dengan pantas. Saya juga seringkali dibanding-bandingkan dengan pelakon lain terutamanya mereka yang lebih terkenal daripada saya namun saya langsung tidak ada rasa cemburu kerana saya percaya rezeki setiap orang berbeza.

2) Adakah kamu risau kini setiap langkah dan gerak geri diperhatikan sejak dikenali?

Saya semestinya akan rasa risau sekiranya saya tersalah langkah pabila berada di mata umum. Namun saya percaya semua orang tidak terlepas melakukan kesilapan. Saya tidak tahu apa akan terjadi pada  masa hadapan namun saya harap jika saya tersalah langkah, penyokong-penyokong saya akan memahami situasi saya. Buat masa sekarang saya akan cuba lebih berhati-hati dan elakkan perkara yang boleh memberi impak negatif, namun saya tidak boleh jangka masa hadapan.

 

3) Pada pendapat kamu, selain bakat dalam lakonan, apa kriteria setiap pelakon perlu ada?

Sebagai pelakon jika kita kekal dengan satu gaya mahupun satu watak sahaja, lakonan kita akan nampak sama. Dalam industri ini, saya percaya bahawa kita perlu sentiasa cipta kejutan dengan kebolehan kita dalam memainkan pelbagai watak berbeza seperti pelakon aksi, romantis mahupun watak jahat. Selain itu, saya juga percaya bahawa kita perlu berani bereksperimen dengan stail peribadi misalnya gaya potongan rambut. Elak jadi orang yang sama 5 tahun berturut-turut, seorang pelakon harus pandai mengubah diri sendiri dan cuba tawar kelainan. Saya akui saya memilih sedikit sekarang. Anda perlu faham, saya bukan menolak semua kerja namun saya sedar bahawa nama saya adalah satu jenama dan apa yang saya lakukan adalah satu bisnes. Pastinya saya ingin melindung diri sendiri daripada perkara-perkara yang boleh menjatuhkan saya. Mungkin situasi ini akan membuatkan penerbit mahupun stesen televisyen meletak label pada saya kerana terlalu memilih atau ia membuatkan ada individu akan makan hati. Namun bukan senang untuk saya menolak sesetengah tawaran mereka. Ini hanya bisnes dan saya perlu bijak mengatur langkah.

4) Bagaimana kamu gambarkan siapa diri kamu di mata umum dan siapa pula kamu di dunia sendiri?

Saya akui sebenarnya personaliti saya di dalam hidup sebenar dan di hadapan mata umum tidak jauh berbeza. Saya berpegang kepada prinsip bahawa layanan kepada umum haruslah sama rata tidak kira pangkat mahupun darjat. Saya juga percaya bahawa setiap individu perlu kekal dengan asal usul mereka tidak kira populariti. Usah takut untuk menyuarakan pendapat anda terutamanya untuk kerja kerana jujur saya percaya bahawa saya hanya inginkan yang terbaik. Jika saya boleh memberi nasihat kepada pelakon baru, saya ingin ujar kepada mereka agar jangan cepat mengaku kalah, bahkan untuk berjaya dalam industri mereka perlu ada pendirian sendiri dan hustle like crazy. Ya, untuk kekal relevan dalam industri hiburan juga antara cabaran terbesar saya namun saya percaya ia juga sukar buat orang lain. Malaysia mempunyai ramai pelakon berbakat namun the system is broken dan kita kena ubah semua.

5) Perkembangan terkini kamu

Saya sekali lagi akan bekerjasama dengan Michael Ang untuk telefilem ‘Penaklukan Syaitan’ dan digandingkan bersama Mawar Rashid. Bahkan saya juga bakal berlakon dalam telefilem arahan Kabir Bhatia iaitu Kerana Dia Aku Menangis bersama rapper Bunga dan Naim Daniel. Bekerja di bawah arahan Kabir amat berbeza dengan pengarah lain kerana dia lebih gemar lakonan yang subtle bukan terlalu dramatik. Saya percaya pabila seorang pengarah dapat lihat kekuatan dan kelebihan kita ini banyak membantu menonjolkan sisi berbeza lakonan saya.

 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link