Shaheizy Sam Bakal Bernikah Dengan Syatilla Melvin Februari Ini

Oleh: Farhana Fuad

Sumber BH Online

 

sam dan syatilla kahwin

Gambar: Rotikaya

 

Segala persoalan selama ini yang dikaitkan dengan Shaheizy Sam terjawab apabila pelakon yang pernah mengungguli trofi Anugerah Bintang Popular ini bakal bernikah tidak lama lagi. Sam bakal menikahi Syatilla Melvin yang juga seorang pelakon yang cukup popular pada 8 Februari nanti.

 

Sam dan Syatilla mengumumkan tentang tarikh pernikahannya sebentar tadi yang secara tidak langsungnya mengesahkan tentang hubungan percintaan mereka yang sudah mula tersebar di dunia hiburan tempatan.

 

Kedua-dua pasangan ini memilih 8 Februari untuk majlis ijab kabul bersempena ulang tahun kelahiran ke-25 Syatilla. Menurut pasangan ini lagi, majlis akad nikah mereka akan diadakan di kediaman keluarga Syatilla yang terletak di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

 

Majlis resepsi bagi pihak perempuan akan diadakan pada hari berikutnya berlokasi di Bukit Jawi Golf Club. Manakala majlis resepsi disebelah lelaki pula akan dilangsungkan di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.

 

Bahkan, istimewa buat peminat Sam dan Syatilla, mereka merancang untuk mengadakan sebuah majlis keraian bersama peminat, yang mana lokasi dan masa belum lagi ditetapkan.

 

sam dan syatilla kahwin 2

Gambar: Instagram Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin

 

“Selama ini, saya bukan berniat untuk merahsiakan hubungan kami. Bagaimanapun sekitar lima bulan lalu, saya berasakan dialah yang benar-benar bertakhta di hati. Selama ini pun, hidup saya banyak dihabiskan dengan mencari duit untuk keluarga. Cuma, sesekali tidak saya nafikan, soal peribadi membabitkan perasaan ada terlintas di hati. Apabila perkara itu datang, saya lebih banyak mengetepikannya kerana berasakan tanggung jawab saya lebih kepada keluarga. Saya bukan datang daripada keluarga yang senang,”

 

“Dalam diri, kemahuan untuk terus mencari duit tidak pernah putus. Bagaimanapun Alhamdulillah, akhirnya jodoh saya datang dan saya yakin Tilla (nama panggilan untuk Syatilla) adalah pilihan tepat untuk hidup bersama saya hingga ke jannah. Insya-Allah,” kata Sam kepada pihak media di sesi pengumuman perkahwinan mereka yang diadakan di Hotel Sunway Putra.

 

“Saya percaya, Tuhan juga akan membantu saya melaksanakan tanggung jawab baharu nanti. Tiada apa pun yang berubah, cuma tanggung jawab saya terus bertambah kerana ada keluarga baharu akan hadir dalam hidup,” katanya lagi.

 

Sam turut berkongsi tentang minatnya kepada Syatilla. “Hatinya sangat kuat dan dia seorang yang amat penyabar. Dia langsung tidak pernah memberikan tekanan kepada saya, termasuk dalam soal berkaitan kerjaya seni. Barangkali kerana dia juga seorang pelakon, jadi dirinya faham apa yang harus dilalui,” ujar Sam.

 

Bukan sahaja Sam, malah Syatilla turut menyatakan sedikit sebanyak tentang Sam yang membuatkan dirinya terpikat pada pelakon Adnan Sempit ini.

 

“Selain hatinya yang baik, dia juga sebenarnya sangat manja orangnya. Maklumlah dia anak bongsu. Apa yang membuatkan hubungan kami bertahan ialah hatinya yang sangat jujur. Tiada rahsia antara kami. Selama ini juga, kami saling menyokong antara satu sama lain dan sentiasa berada di belakang diri masing-masing,” kata Syatilla.

 

Syatilla telah dirisik oleh ibu Sam, Khaty Fauziah pada 13 Disember tahun lalu. Pasangan ini sudah pun melakukan persiapan perkahwinan bermula dari tarikh Syatilla dirisik. Yang membuatkan dua pasangan ini terkejut adalah mereka sendiri mendapat tahu bahawa mereka mendapat tajaan untuk perkahwinan mereka ini yang berjumlah RM25 juta. Ianya dinyatakan sendiri oleh penaja yang terlibat dalam proses perkahwinan yang pastinya tergempar tahun ini.

 

“Kami sendiri agak terkejut dengan jumlah tajaan ini. Apapun terima kasih kepada pihak yang sudi menaja dan menjadi sebahagian daripada hari bahagia kami. Majlis ini bagai meraikan mereka yang dianggap seperti keluarga kami,” menurut laporan BH Online.

 

EH! ucapkan setinggi tahniah kepada Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin. Semoga segala persiapan menuju hari bahagia itu berjalan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan serta selamat melayari bahtera perkahwinan dengan penuh bahagia.

 

Share via
Copy link