Perkara Yang Harus Dielakkan Dalam Menjaga Kesihatan Kulit Bahagian Mata

DARI KIRI : SULWHASOO Concentrated Ginseng Renewing Eye Cream Ex RM594 / LANEIGE Special Care Eve Sleeping Mask 139 / TEAOLOGY White Tea Miracle Eye Cream / CHANEL Hydra Beauty Micro Gel Yeux RM254

 

Selari dengan pertambahan usia, kawasan kulit di sekeliling mata akan semakin sukar untuk mengekalkan keremajaan dan ketegangan kulit. Faktor luaran seperti pencemaran, serta pendedahan kepada cahaya UV yang mempercepatkan tanda-tanda penuaan pramatang juga menyumbang kepada faktor kedutan dan keletihan kawasan sekitar mata yang akan menyebabkan sembap mata lebih jelas kelihatan. Selain itu gaya hidup yang tidak sihat juga merupakan antara faktor kepada masalah ini. Kurang minum air kosong, sering tidur lewat dan terlalu lama memandang skrin komputer atau telefon juga punca terjadinya mata ‘panda’.

Bagi mengatasi masalah ini, pernah atau tidak anda terfikir cara permakaian krim mata yang anda amalkan betul atau salah? Sapulah krim mata paling mahal harganya sekiranya anda tidak mengetahui cara pemakaian yang betul dan sering melakukan kesalahan dalam cara pemakaian juga boleh menyebabkan masalah tersebut menjadi lebih ketara dan tidak akan memberikan hasil yang diingini.

Pemakaian krim mata atau penjagaan mata tidaklah semudah yang dibayangkan jika anda inginkan hasil yang berkesan. Ramai yang mengambil remeh tentangnya yang mana ia boleh memburukkan lagi keadaan sekeliling mata. EH! senaraikan kesalahan yang sering dilakukan semua orang dan perlu dihindari sekirannya anda inginkan mata yang sihat dan kekal remaja.

 

DARI KIRI : LOCCITANE Immortelle Eye Balm RM292 / THE BODY SHOP Drops of Youth Bouncy Eye Mask RM108.49 / DIOR Prestige Le Micro-Serum De Rose Yeux RM669 / SOTHYS Multi Action Eye Contour RM382

 

TIDAK MENJAGA KEBERSIHAN AREA MATA

Perkara pertama yang perlu anda titikberatkan sebelum menyapu krim mata adalah kebersihan kulit sekeliling area mata. Pastikan keadaan kulit sekitar mata bersih dari sebarang solekan atau penjagaan kulit yang lain. Kerana krim mata yang terkena atau bercampur dengan minyak wangi atau produk penjagaan wajah yang lain akan menyebabkan krim mata tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

 

TIDAK MEMBERSIHKAN TANGAN SEBELUM MENGGUNAKAN KRIM MATA

Jangan malas untuk mencuci tangan! Langkah ini penting dalam pemakaian krim mata kerana merupakan faktor utama yang menentukan sama ada krim mata yang anda gunakan dapat berfungsi dengan baik atau tidak. Sebelum menggunakannya, pastikan tangan bebas kuman dan pelbagai produk penjagaan yang anda gunakan sebelum itu, kerana krim mata yang telah tercemar dengan kuman dan bakteria tidak dapat berfungsi dengan berkesan.

MENGGUNAKAN KRIM MATA DALAM KUANTITI YANG BANYAK

Ramai wanita keliru dengan mengandaikan bahawa menggunakan lebih banyak krim mata, lebih cepat memperolehi hasil yang diingini. Andaian ini adalah satu kesilapan besar, kerana jika anda menyapu terlalu banyak pada sekitar mata ia akan meresap krim mata dan masuk ke dalam mata sehingga akan menyebabkan kerengsaan mata. Di samping itu, penggunaan terlalu banyak juga boleh menyebabkan risiko terhasilnya garis kedutan pada mata. Oleh itu, gunakannya dengan kuantiti sebenar saiz kacang hijau dan sapukan secara rata.

 

MENGOLES KRIM MATA DENGAN CARA MENGGOSOK

Kesilapan yang sering dilakukan adalah menggunakan krim mata seperti menggunakan krim muka iaitu dengan cara menggosok dari pangkal hujung mata hingga ke arah dalam mata. Cara ini adalah salah kerana ia akan menyebabkan kulit mata tertarik dan menjadi kendur. Selain itu ia juga akan mengakibatkan terhasilnya garis halus pada permukaan kulit di sekeliling mata. Cara yang betul adalah dengan mengoleskan krim mata dan tepuk secara perlahan dan biarkan krim meresap ke dalam kulit.

 

MENYAPU KRIM MATA DENGAN JARI YANG SALAH

Kulit di sekeliling mata mempunyai tahap sensitif yang tinggi. Penggunaan jari yang betul amat penting bagi menggelakkan timbulnya masalah pada kulit sekitar mata. Kulit pada kawasan mata mempunyai lapisan yang nipis, jadi anda perlu melakukan pergerakan yang lembut. Cara yang betul adalah dengan menggunakan jari manis supaya tekanan yang dihasilkan menjadi lebih ringan.

 

MENYAPU KRIM MATA PADA KESELURUHAN KELOPAK MATA

Ramai yang mengoleskan krim mata pada bahagian kelopak mata. Ternyata cara tersebut adalah salah kerana krim mata yang disapukan di kawasan tersebut berisiko untuk masuk ke dalam mata dan akan menyebabkan kerengsaan pada mata. Selain itu, ia menyebabkan mata berminyak dengan cepat dan pembayang mata yang dipakai akan cepat pudar dan kelihatan tidak sekata warnanya. Kawasan yang paling sesuai adalah bahagian tulang di sekeliling mata. Ia mengekalkan bahagian kontur kulit mata daripada menjadi kendur.

 

GUNAKAN KRIM MATA PADA WAKTU MALAM SAHAJA

Rangkaian penggunaan produk penjagaan kulit memang ternyata menjalankan tugasnya dengan lebih efektif ketika waktu malam. Namun tidak ada salahnya jika anda mengoleskan atau menyelitkan langkah krim mata pada rutin penjagaan kulit waktu siang. Terutama sekali jika krim mata tersebut menpunyai formula pelindungan dari sinaran matahari. Sinaran matahari boleh menyebabkan kulit kering dan terjadinya kedutan halus pada kulit. Lebih-lebih lagi kulit di sekitar mata mempunyai lapisan kulit yang nipis, jika tidak dilindungi, kawasan ini akan mudah terdedah dengan pancaran matahari dan cepat terjadinya masalah yang tidak diingini.

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link