Kisah Benar : Dicerai Kerana Hijab

Selalu kita mendengar perpisahan dan penceraian berlaku kerana perhubungan dan keinginan yang tidak lagi sehaluan. Dia mahu A, anda mahu B. Bagi mereka yang masih kuat rasa cinta dan keinginan untuk bersama, masalah itu cuba diatasi dengan menerima kelebihan dan kekurangan pasangan. Namun, ada juga yang tidak langsung dapat berkompromi bagi mempertahankan hubungan yang tercipta atas landasan cinta itu.

 

Gambar : Shutterstock

 

Bekerja sebagai penata gaya bagi salah sebuah syarikat televisyen terkemuka Malaysia menjadikan Maria antara wanita yang disegani dalam industri fesyen tempatan. Namanya disebut-sebut sebagai penata gaya yang paling kreatif dan juga punya wajah menawan. Badan tinggi lampai dengan susuk tubuh bagai seorang peragawati, siapa sahaja pasti tertarik untuk mengenalinya. Peramah dan mudah mesra juga bisa mengungkit kasih dalam hati sesiapa yang pertama kali menemuinya. Kariernya juga membuatkan dia berpeluang untuk mengenali ramai selebriti terkenal, pereka fesyen dalam dan luar negara serta orang kenamaan.

 

Nah, hebat bukan wanita bernama Maria ini? Kehebatannya memikat hati seorang jejaka tampan yang menerajui syarikat perniagaannya sendiri, Arif. Kali pertama bertentang mata dengan Maria apabila ada rakan yang menemukan mereka berdua ketika bersantai di salah sebuah bar eksklusif di kota Kuala Lumpur. Lagaan gelas berisi wain putih dan senyuman manis wanita itu menambah yakin pada diri Arif yang Maria adalah gadis pilihannya.

 

Nyata Arif tidak bertepuk sebelah tangan. Hubungan mereka semakin lama semakin asyik dan hangat dalam dunia percintaan. Bukan sahaja sebagai teman wanita, malah Arif menganggap Maria selaku teman karibnya yang berkongsi impian dan matlamat yang sama untuk berjaya dalam kerjaya masing-masing. Minat mendalam kedua-duanya dalam sukan ekstrem menambah selesa dan keseronokan dalam perhubungan.

 

Sememangnya Arif benar bangga mempunyai wanita secantik Maria. Kerana itu, dia sering membawa Maria ke majlis-majlis korporat. Tersenyum sinis tatkala melihat kerlingan nakal orang kenamaan yang sudah beruban memandang paha putih gebu Maria yang terdedah dalam gaun malam seksi. Ada lelaki yang berdecit cemburu melihat Maria berpaut manja pada Arif dan itu menambah keseronokan pada dirinya. ‘Best man wins, bro!’ Getus hati kecilnya.

 

Usia yang sudah menjangkau 30-an mengungkit risau di benak kedua orang tua Maria apabila anak gadis mereka belum lagi melangsungkan perkahwinan. Desakan demi desakan serta kerelaan Maria dan Arif, mereka disatukan dalam majlis perkahwinan yang penuh gemilang. Maria anak orang berada dan Arif yang semestinya jutawan pada usia muda diraikan dalam majlis yang bukan sedikit belanjanya. Arif yang tidak percaya dalam hubungan perkahwinan akhirnya mengalah kerana dia percaya, tidak ada yang akan berubah selepas ini, termasuk kehidupan bebas sebelum berkahwin dan juga rasa cintanya yang menggunung terhadap Maria.

 

Kehidupan mereka semakin bahagia semenjak berkahwin. Bulan-bulan pertama kehidupan berumah tangga dirasakan sungguh indah. Namun, masuk bulan kelima, Arif merasakan kelainan pada diri Maria. Dia yang dulunya lincah dan periang menjadi agak pendiam, namun masih membelai dirinya dengan penuh kasih sayang. Ketika diajak untuk menemani ke majlis keraian, Maria menolak untuk memakai busana hitam pendek yang dibelinya ketika di Paris. Malah, Maria menyarung busana berlengan panjang dan labuh hingga ke buku lali.

 

Bukan sahaja dari segi berpakaian, Maria juga menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan ingin menumpukan perhatian kepada perniagaan butik online. Walaupun keinginan isterinya ini tidak dipersetujui, dia hanya menuruti. Bukan kerana dia tidak mampu untuk menampung kehidupan isterinya, tetapi kerjayanya kini di tampuk kejayaan. Bukankah sayang jika ditinggalkan begitu sahaja?

 

Satu hari, sebaik usai bersarapan dan ingin melangkah kaki keluar, Maria mencapai tangannya perlahan dan mengucup penuh syahdu. Arif menarik tangannya perlahan sambil terpinga-pinga sendiri. Tidak pernah Maria berbuat begitu padanya. Lebih mengejutkan apabila ada lilitan skarf menutup rambut dan bahagian lehernya. Menyeringai perlahan Arif menanyakan dia ingin ke mana dengan berpakaian litup begitu. Perlahan Maria tersenyum sambil meminta izin untuk ke pasar raya membeli barangan dapur. Arif benar-benar hilang arah. Adakah dia sedang bermimpi? Apa yang sedang berlaku pada Maria? Adakah dia disampuk atau mengalami tekanan jiwa?

 

Tidak keruan Arif sepanjang memandu ke tempat kerja. Sepanjang lima tahun dia mengenali Maria, tidak pernah dia melihat Maria berpakaian begitu. Masih dia ingat liuk tubuh isterinya ketika menari bersama dalam alunan muzik rancak dan gaun seksi. Maria yang dulu ligat menjadi penyeri ketika majlis korporat syarikatnya kini mula menolak apabila diajak ke majlis-majlis begitu, apatah lagi mengenakan busana seksi. Maria kini mula memasak sendiri di rumah, walhal ada orang gaji yang boleh melakukannya. Bak kata isterinya dalam nada gurauan, dia ingin Arif sentiasa rindu akan masakan air tangannya sekali gus mengeratkan rasa cinta mereka.

 

Pulang malam itu, Arif berbincang dengan Maria mengenai perubahannya yang secara mengejut ini. Maria menceritakan bagaimana hatinya terbuka untuk mendalami agama dengan lebih mendalam. Secara tiba-tiba dia rasa ingin berubah dan bagi mengelak daripada suaminya menanggung dosa yang dia lakukan. Arif yang sememangnya panas hati sejak pagi mula membentak kuat.

 

“Kenapa berubah tiba-tiba? Kenapa tidak berubah masa kita bercinta dahulu?! Kalau aku tahu dari dulu, haram aku ingin kahwin dengan kau!”

 

Terkejut Maria mendengar pekikan kuat suaminya. Terus menerus Arif menuduh Maria ingin memerangkap dirinya dalam dunia berbeza yang dilaluinya sebelum ini. Arif berang kerana menyangka Maria ingin hidup dalam bayangan kemewahan milik Arif semata. Arif mahukan isterinya yang dahulu; bergaya, seksi serta up-to-date! Dia tidak mahukan wanita yang kini berada di hadapan matanya. Dia gusar kerana tidak dapat lagi berkongsi matlamat dan keinginan yang sama dalam hidup. Arif kecewa apabila mengetahui Maria bukan lagi gadis sama yang dicintainya selama ini.

 

Walhal pada hakikatnya, Maria tetap wanita yang sama, masih cantik dan bergetah serta aktif dalam sukan ekstrem. Yang berbeza hanyalah cara hidup dan rejim berpakaiannya. Dia tidak lagi menyentuh minuman keras dan lebih memperbanyakkan langkah ke majlis ilmu berbanding ke kelab malam. Dia sedar dosanya kini ditanggung suami tercinta, lalu kerana itu dia ingin meringankan beban suaminya dengan memperbaiki kehidupannya sebagai seorang wanita Muslim. Arif gusar kerana tidak dapat berkongsi nikmat dunia dengan isteri dan juga teman baiknya itu.

 

Namun, Arif tidak mahukan perubahan yang dilakukan Maria. Hari demi hari, mereka melalui hidup berumah tangga dengan penuh kekosongan dan tiada lagi kasih sayang seperti dahulu. Usia perkahwinan yang menginjak ke lapan bulan itu dirasakan terlalu baru untuk melalui kesedihan. Tiada lagi gurau senda ketika mereka bercinta dahulu. Arif semakin menjauhkan diri dan jelak dengan perubahan yang isterinya lakukan. Dia sentiasa menyalahkan Maria kerana berubah arah dan tidak seperti Maria yang dikenalinya dahulu.

 

Sampai bila mahu tinggal sebumbung jika hari-hari yang dilalui tiada lagi seri. Pada suatu petang yang hening, Arif dengan perlahan melafazkan cerai talak satu kepada Maria kerana sesungguhnya, mereka sudah tidak sehaluan lagi. Bukan kerana ada orang ketiga atau salah faham dalam perhubungan, cuma apa yang didambakan Arif tidak lagi selari dengan keinginan Maria. Berat hatinya melepaskan wanita yang dicintainya itu pergi dari hidup. Apa lagi yang mampu Maria lakukan. Air matanya tidak dapat dibendung lagi dan benar kecewa dengan Arif. Dek kerana perubahan kepada kebaikan ini, dia diceraikan dan ditinggalkan tanpa ada salahnya sebagai wanita dan juga isteri.

 

Tidak semua perubahan mendatangkan keburukan. Ada perubahan yang menuju ke arah kebaikan dan kehidupan yang lebih bahagia. Bagi Maria, kehidupannya kini lebih tenang dan mendamaikan. Dia kekal berhijab dan mendalami ilmu agama walau Arif enggan menerima dia seadanya. Rasa cinta itu masih ada, namun sayang tidak dapat mengekalkan hubungan kerana tujuan dan haluan hidup kini yang berbeza.

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link