Sorok Status Hubungan. Apa Pandangan Anda?

Oleh: Mujahid Saddam

Secret CoupleGambar: INGimage

Kecoh bila kediaman komposer terkenal Datuk Ramli MS dikunjungi pihak Jabatan Agama Islam Selangor atas aduan orang ramai mengenai status hubungannya dengan penyanyi Alyah. Setelah lama berteka-teki, akhirnya terjawablah sudah segala persoalan bahawa mereka sebenarnya sudah bernikah lebih setahun yang lalu. Menerusi ulasan yang dibuat kepada media mengenai perkara tersebut, Ramli dengan nada bergurau berkata bahawa ianya adalah hak mutlak asasinya untuk merahsiakan perkara tersebut.

HORMATI PRIVASI
Mungkin ada benarnya juga kata Ramli MS itu. Pada mereka yang sememangnya sukakan privasi, tidak akan menghebahkan walau sedikit pun mengenai hal diri. Mereka yang private tidak senang akan perhatian yang diterima, sebaliknya lebih suka mendiamkan diri tanpa perlu memikirkan pandangan orang lain. Mungkin sebab itulah sesetengah orang bertindak merahsiakan hubungan mereka. Untuk mengelakkan dari berhadapan dengan kritikan yang mungkin membuatkan mereka tidak selesa.

ELAK SALAH SANGKA
Di zaman teknologi ini, setiap gerak-geri yang ditunjukkan di media sosial boleh mendatangkan salah-sangka. Kadangkala sikap keterbukaan diri yang ditunjukkan boleh menjadi batu fitnah yang akhirnya memakan diri. Sikap orang ramai yang sentiasa berfikiran negatif pula menambah kepada kemaslahatan. Sesuatu perkara yang baik boleh disalah erti, menjadikan sesetengah pasangan memilih untuk merahsiakan hubungan mereka.

TIDAK PENTING
Kadangkala pasangan kita merasakan pengisytiharan perhubungan merupakan sesuatu yang tidak penting. Mereka lebih gemar jika ianya menjadi sesuatu yang hanya hak milik mutlak mereka.

PENIPU
Jika pasangan memberikan alasan bahawa mereka mahu privasi dihormati dengan menyorokkan status hubungan, pernahkah anda terfikir bahawa ia juga adalah antara suatu bentuk penipuan? Kenapa perlu menyusahkan diri dengan menipu kepada setiap orang yang bertanyakan mengenai status anda serta suami? Adakah ini bermakna bahawa si dia juga menipu dalam banyak perkara? Atau si dia tidak cintakan anda sepenuhnya untuk mengaku hubungan anda berdua? Ingatlah bahawa kejujuran merupakan tiang kepada sebuah perhubungan.

CURANG
Tanpa penghebahan mengenai status hubungan, ianya mungkin antara sebab untuk si dia curang. Status bujang dimata umum membolehkan sang suami untuk bermain mata dengan wanita lain di luar sana.

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link