Solusi Untuk Masalah Rambut Kering Dan Rosak

Pasti menjengkelkan apabila rambut tidak beralun lembut dan susah untuk digayakan dek kerana masalah rambut kering.

 

shutterstock_105054821

 

EH! sediakan 1001 tip dan fakta sebagai penyelesaian masalah ini.

 

Mengapa?

 

Kurang lembapan

Antara punca utama rambut kering adalah kurangnya penghasilan minyak daripada kulit kepala untuk mengekalkan kelembapan yang seimbang dan menyihatkan. Rambut tiada punca pelincir, justeru ia bergantung sepenuhnya kepada lembapan minyak yang terhasil secara semula jadi pada akar rambut.

 

Penggunaan bahan kimia

Kebanyakan salun rambut menggunakan syampu mahupun agen penggayaan yang mengandungi bahan kimia. Terlalu kerap menggunakan penyembur rambut, mewarna serta penggunaan pengering rambut juga boleh menjadikan rambut kering dan rosak. Terdedah kepada elemen semula jadi seperti asap kenderaan, cahaya matahari dalam jangka masa yang lama serta klorin dalam air boleh juga menjadi punca rambut kering dan rosak. Air masin laut juga boleh mendatangkan masalah yang sama.

 

Cara Merawat

BUAT
1. Gunakan pupur rambut dua minggu sekali, sama seperti anda menggunakan pupur untuk wajah. Ia memberi kelembapan dan menjadikan rambut bersinar cantik.

 

2. Bilas rambut dengan air sejuk atau bersuhu bilik untuk mengelakkan kulit kepala rosak atau kehilangan lembapan minyak.

 

3. Potong sedikit hujung rambut setiap bulan bagi menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat. Jika dibiarkan, rambut akan jadi kering dan bercabang serta melambatkan proses pertumbuhan rambut.

 

4. Urut perlahan kulit kepala dengan sapuan minyak jojoba atau kelapa untuk merangsang penghasilan minyak semula jadi di kulit kepala selain melancarkan peredaran darah.

 

5. Sekali sekala, biarkan rambut lepas bebas tanpa menggunakan sebarang produk penjagaan mahupun penggayaan rambut. Ini membantu rambut mendapat ‘oksigen’ yang sepatutnya.

 

6. Sikat rambut menggunakan berus rambut yang lembut bagi meratakan minyak di kepala secara menyeluruh sebelum anda masuk tidur.

 

7. Tidak salah, sekali sekala anda gunakan resipi mask rambut buatan sendiri. Campuran madu dan minyak zaitun bukan sahaja mempunyai aroma yang wangi, malah ia baik untuk melembapkan rambut. Sapu rata ke seluruh rambut dan balut dengan plastik selama 30 minit. Kemudian, bilas menggunakan syampu dan perapi rambut. Lakukan sebulan sekali.

 

 

ELAK
1. Jangan sesekali cuba meluruskan rambut ketika rambut masih basah. Gunakan sikat berbulu yang memberi tekanan lembut. Selepas menggunakan pengering mahupun pelurus rambut, tukar mode pengering kepada yang bersuhu sejuk bagi menutup kutikel.

 

2. Mereka yang terlalu mengawal pemakanan dan tidak menjalani rutin diet yang berkhasiat cenderung mengalami kekurangan nutrisi. Justeru, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan rambut.

 

3. Si rambut kering tidak perlu membasuh rambut setiap hari. Cuci rambut dua atau tiga kali seminggu berserta penggunaan perapi rambut. Dan jangan pula menyapu perapi sehingga ke kulit kepala kerana dikhuatiri akan meninggalkan lebihan di kulit kepala yang menyerupai kelemumur.

 

4. Jangan oles serum ketika anda ingin menggunakan penggulung atau pengering rambut. Haba boleh menyebabkan khasiat sebenar serum berubah kepada merosakkan rambut.

 

5. Ada pelembap rambut yang bertindak hanya memberi kelembutan secara luaran sahaja. Elakkan memilih pelembap mengandungi petroleum atau minyak mineral yang bisa menyekat nutrisi semula jadi daripada meresap ke dalam rambut.

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link