Tunang Ada, Skandal Pun Ada!

 

shutterstock_336618491

Gambar : Shutterstock

 

Ayu (bukan nama sebenar) gadis berkulit sawo matang idaman jejaka kampus. Namanya sering meniti bibir golongan nakal ini setiap kali dia melangkah. Tidaklah wajahnya secantik rupawan Miss Universe namun kelebihan dia dalam berbahasa dan lenggok tubuh badannya membuatkan ramai tertarik.

 

Hatinya telah sekian lama terpikat dengan seorang jejaka pemalu dan pendiam, tapi tidak terlontar kata-kata untuk menegur jejaka pilihannya. Mungkin sudah jadi satu kebetulan, sebelum Ayu meninggalkan kampusnya buat kali terakhir, jejaka misteri yang menjadi idaman hatinya akhirnya menegur dan mereka saling bertukar nombor telefon.

 

Setelah perkenalan dia dan Adam (jejaka misteri) terjalin hampir dua tahun, akhirnya mereka disatukan dengan satu ikatan pertunangan. Kedua-dua belah keluarga tidak mempunyai sebarang masalah akan hubungan mereka berdua, malah kedua-dua keluarga merestui hubungan mereka.

 

Keserasian antara Ayu dan Adam membuatkan ramai membibit rasa cemburu! Mereka seperti merpati sejoli yang tidak akan terpisah buat selamanya. Dari menyimpan rasa, kemudian menjalin cinta dan kini mereka berdua ialah pasangan bertunang, orang tua-tua bilang, jika diikat terlalu lama boleh mengundang masalah jika hati tak kuat.

 

Darah manis memang banyak dugaan. Namun, bagi mereka ia sekadar tabu, kepercayaan orang dulu yang direka-reka untuk menakutkan pasangan bertunang dan ingin mengelakkan daripada maksiat. Both of them are very open minded couple! Masing-masing matang dengan diri dan karier dan bagi mereka jika sudah jodoh tidak ke mana-mana.

 

Adam yang kini bekerja sebagai jurutera minyak di sebuah syarikat perkapalan minyak terkenal tempatan semakin hari tiada masa untuk dia meluangkan ruang dirinya untuk tunang tercinta. Ikutkan hati Ayu memang mahu merungut namun akhirnya didiamkan sahaja kerana itulah punca rezeki dia untuk Ayu di masa akan datang.

 

Kesibukan Adam yang sering outstation hinggakan tiga bulan membuatkan Ayu berasa kesunyian! Walaupun setiap bulan, Adam akan memasukkan sejumlah duit yang banyak untuk perbelanjaan harian namun bagi Ayu itu tidak mencukupi!  Beberapa bulan sebelum mengikat pertunangan dulu Adam meminta Ayu berhenti kerja.

 

Dia mahu Ayu duduk di rumah sahaja. Tapi disebabkan kesibukan Adam yang sering sibukkan kerja mengundang rasa bosan. Jika sudah biasa bekerja masakan betah bagi Ayu duduk di rumah sahaja. Ayu meminta kebenaran Adam untuk bekerja dan kerana serba salah Adam terpaksa bersetuju. Masakan boleh dia melarang sedangkan dia sendiri memang tiada masa untuk Ayu.

 

Hari pertama Ayu bekerja sebagai seorang setiausaha di syarikat membuatkan  kehidupan cukup berbeza! Orang-orang di syarikat barunya berbeza dengan teman sekerjanya yang dulu. Kawan kerja barunya lebih berfikiran terbuka dan ramai juga yang masih muda. Berbanding tempat kerjanya dulu rata-ratanya orang sudah berumur.

 

Ayu mengakui dengan senang bekerja dengan ‘Bos Muda’ kerana menurutnya ketuanya sangat tegas dan tenang dalam mengawal situasi bekerja. Keselesaan Ayu itu akhirnya terjerumus dalam bibit cinta skandal antara pekerja dan majikan!

 

Hubungan skandal dia dan Daus (majikan Ayu) semakin lama semakin berbunga! Kisah mereka berkembang hingga ke luar negara dengan alasan projek kerja. Siapa sangka si Ayu yang dulunya gadis baik-baik kini semakin liar memasang ‘madu’ Adam! Sama seperti Ayu, Daus juga sudah bertunang dengan seorang gadis pilihan keluarga. Bisikan syaitan membuatkan mereka berdua lalai dengan hubungan terlarang. Pantang ada kerja luar, pasti Ayu akan turut sama.

 

Bagaimana pula dengan Adam sepanjang Ayu sudah mula bekerja dan bermain cinta dengan bos sendiri? Semuanya berjalan seperti biasa! Ayu bijak dalam mengatur strategi, sedikit pun hubungan skandalnya dengan Daus dapat dihidu Adam. Dan dalam diam, Ayu sebenarnya turut memasang skandal lain selain Daus. Semuanya kebetulan sewaktu dia menghantar Daus ke KLIA.

 

Fikri, jejaka segak dan tampan miliki empayar perniagaan hebat yang juga seorang ‘bachelor’ idaman ramai sewaktu di sekolah dulu. Sejak pertemuan ‘jejak kasih’ di KLIA itu Ayu dan Fikri kerap berjumpa.

 

Fikri dan Ayu sebenarnya pernah bercinta sewaktu sekolah dulu, tidak serius, sekadar cinta monyet. Habis sekolah hubungan pun putus. Masing-masing bawa haluan sendiri, belajar pun di kolej lain-lain. Kalau hendak dibandingkan rupa antara Adam dan Fikri, pastinya Fikri boleh menang dengan mudah.

 

Ayu Memang bijak, sejak pasang skandal dia awal-awal sudah membeli telefon bimbit baru. Dia ada dua nombor, satu untuk Adam dan satu lagi untuk kekasih skandalnya dan pastinya terbaru untuk Fikri. Lama-kelamaan hubungan dia dan Fikri turut berkembang mekar hinggakan hampir setiap masa Ayu bersama Fikri. Ayu memang licik, sudah beberapa bulan dia menjalin cinta dengan Fikri, dia masih berjaya menutup cerita yang dia sudah bertunang.

 

Oh by the way, Ayu kini tidak lagi bekerja di bawah Daus malah hubungannya dan majikan dia sudah pun terputus apabila Ayu merasakan Daus seorang lelaki yang sangat membosankan. Baginya, hubungannya bersama Daus sekadar crush atau fling semata. Daus pun bakal berkahwin dengan tunangannya pada hujung tahun ini.

 

Dan kisah mereka berdua hanya dibiarkan rahsia walaupun Daus sangat menyayangi Ayu. Namun apakan daya Ayu terpikat dengan kekasih lamanya dan masih lagi menduakan Adam.

 

Kehidupan Ayu semakin diulit kemewahan, setiap bulan Adam dan Fikri memberi dia sejumlah wang banyak untuk dia berbelanja! Apa lagi Prada, Chanel, Gucci, Tom Ford semua koleksi paling baru dimilikinya! Senang bukan jadi perempuan seperti ini!

 

Satu hari Fikri meluahkan hasratnya untuk menikahi Ayu kerana  dia yakin Ayu wanita sempurna baginya tetapi Ayu tidak akan pernah mengiakan permintaan Fikri dengan alasan cukup sekadar berteman seperti ini. Setiap kali Adam pulang ke tanah air, telefon bimbitnya pasti ditutup dan Fikri hanya tahu yang Ayu pulang ke kampung halaman atas urusan keluarga walhal Ayu menanti kepulangan tunangannya!

 

Permainan cinta Ayu ini masih berterusan sehingga ke hari ini. Seperti yang saya katakan tadi, Ayu memang licik. Bila Fikri bercakap tentang kahwin, ada saja alasannya. Dan alasan yang diberikan selalunya munasabah hinggakan Fikri tidak terfikir Ayu ada menyimpan satu rahsia. Bila Fikri mahu bertemu keluarganya ada saja akalnya mencari alasan.

 

Begitu juga hubungan pertunangannya, masuk tahun ini sudah setahun lebih tertangguh. Dia jadikan kesibukan Adam bekerja sebagai alasan. Katanya dia mahu Adam betul-betul stabil baru mereka mahu berkahwin. Katanya biarlah Adam punya banyak masa untuknya bila berkahwin nanti. Katanya, bagaimana kalau dia mengandung cepat bila berkahwin nanti.

 

Dia tak mahu dia ditinggal-tinggalkan. Alasannya itu bunyinya memang masuk akal, walhal itu semua sekadar mahu menutup ‘lubang’ kisahnya memasang ‘skandal’. Pengakhiran kisah Ayu? Saya pun tidak tahu. Saya sendiri terfikir bagaimana atau apakah cara untuk Ayu menamatkan permainan ini.

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link