Makanan Yang Perlu Anda Elak Ketika Datang Bulan

 

Gambar: rightbalancenutrition.com

 

Teks: Anis Hanini

Rasa penat, emosi tidak stabil, kekejangan perut, perut menggembung, sembelit, cirit-birit ataupun pening kepala antara simptom yang akan terjadi ketika datang bulan. Namun sebenarnya apa yang anda makan juga mampu membentuk emosi dan perasaan ketika kitaran semula jadi ini terjadi. Naluri kita pula akan mula mengidamkan makanan istimewa namun bagi mengelakkan rasa tidak selesa berterusan, ada beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan ketika anda datang bulan.

 

MINUMAN BERKAFEIN DAN BERGAS

Kurangkan minuman berkafein seperti kopi dan soda kerana ia meningkatkan tekanan darah dan kadar degupan jantung yang menyebabkan tekanan dan kebimbangan. Minuman bergas pula boleh menyebabkan perut menjadi lebih kejang dan sakit. Ganti minuman tersebut dengan teh herba, teh hijau, jus buah-buahan atau air.

 

MAKANAN DIPROSES

Lemak trans yang ditemui dalam makanan diproses boleh menyebabkan simptom datang bulan menjadi lebih teruk. Lemaklemak ini menyebabkan keradangan dalam badan dan rasa sakit bertambah. Makanan diproses juga mengubah hormon dalam badan menyebabkan rasa tidak selesa malah ia tinggi dengan garam dan bahan kimia yang menyebabkan perut rasa kembung selain menyahhidratkan badan yang mengubah tahap tenaga diri.

 

MAKANAN BERGORENG DAN BERMINYAK

Kebanyakan makanan bergoreng dan berminyak mengandungi minyak sayuran hidrogenasi yang boleh meningkatkan paras estrogen dan ini menyebabkan mood swing. Makanan bergoreng dan berminyak terlalu ‘berat’ untuk dihadam dan ini boleh menyebabkan badan akan kurang selesa.

 

HASIL TENUSU

Ia mengandungi asid arachidonic yang menyebabkan kekejangan perut yang menyakitkan. Kebanyakan lemak yang ditemui dalam hasil tenusu adalah lemak tepu yang menyebabkan keradangan dan iritasi yang menyebabkan sakit datang bulan. Hasil tenusu juga meningkatkan proses pengeluaran bahan kimia yang dipanggil prostaglandins yang menyebabkan kekejangan perut.

 

 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link