Bintang K-POP, Han Byul Buat Kejutan & Dedah Sikap Sebenar Selebriti Korea Bersolek!

Bukan saja dapat mempelajari selok-belok solekan stail artis Korea, peminat yang terpilih untuk sesi K-POP make-over anjuran Pure Theory Cosmetic bersama EH! KOREA BUZZ BY HYUNMIN-A turut menerima kejutan dengan kemunculan bintang K-POP, Jang Han Byul yang sebelum ini popular sebagai vokalis utama kumpulan LED APPLE.  

 

Jang Han Byul- Foto: noor nippon

 

Penampilan istimewa Han Byul yang popular dengan lagu Shooting Star pada sesi make-over tersebut adalah rahsia dan tidak diketahui oleh peserta program berkenaan. Malah, 10 peserta yang terpilih hanya dimaklumkan bahawa mereka hanya akan mempelajari solekan gaya artis Korea iaitu gaya Irene Red Velvet, Jennie Black Pink, V BTS dan Kang Daniel dari profesional selebriti Make-up artis , Emel Ismail.

 

Aksi Emel menyolek Han Byul.

 

Pada kesempatan itu, Han Byul yang hadir ditemani sahabatnya iaitu Hyunmin-A dan pengurus peribadi turut mendedahkan bahawa pada asalnya dia adalah seorang lelaki yang kurang mementingkan penampilan. Namun, sejak bergelar penyanyi sekitar 2010, dia mula mengambil berat dan mempelajari cara asas untuk bersolek.

 

 

“Setiap hari, kami selebriti Korea pasti akan menggunakan solekan untuk semua aktiviti kami. Paling tidak pun, kami akan memakai BB Cream saja. Make-up amat penting bagi kami semua artis Korea. Ia bukan saja untuk selebriti wanita tetapi juga untuk selebriti lelaki,” ujar Han Byul.

 

 

Dalam pada itu, Han Byul yang sempat menyanyi dan menjawab beberapa soalan dari peminat secara rambang menyatakan bahawa lelaki Korea pada masa kini sangat mementingkan solekan serta tidak malu mengakui menggunakan solekan.

 

Hanbyul turut memberikan tandatangan eksklusif buat peminat.

 

 “Dulu, kami lelaki-lelaki Korea tidaklah mengambil berat tentang make-up dan produk kecantikan. Selalunya make-up lebih stereotaip untuk golongan selebriti saja. Tetapi, masa sudah berubah. Demi menjaga penampilan dan untuk kekal kacak, lelaki Korea kini sudah pandai make-up. Ada juga yang sanggup berhabisan duit untuk belajar cara betul penjagaan wajah. Tidak seperti dahulu, mereka sanggup berhabis duit untuk pembedahan plastik,” jelasnya yang menyatakan tidak melakukan sebarang pembedahan plastik.

 

 

Sebelum beredar dari majlis berkenaan, Han Byul dengan rela hati disolek oleh Emel Ismail di hadapan peminat sambil berkongsi perkembangan terbarunya yang kini bergerak sebagai penyanyi solo. Menariknya, sesi tersebut juga tidak dirancang dan ia merupakan hadiah paling bermakna buat Emel Ismail untuk menunjukkan hasil tangannya pada wajah artis Korea.

 

Syera (kanan) menerima hadiah dari Pure Theory.

 

 

Dalam pada itu, seorang peserta program iaitu Syera Kamaruzaman mengakui amat gembira kerana terpilih memandangkan program ini amat bagus untuk peminat K-POP mengetahui lebih dalam tentang solekan artis Korea. Malah, dia berasa amat teruja dapat berjumpa dengan artis kegemarannya iaitu Han Byul dan Hyunmin-A secara serentak.

 

 

“Program yang amat bagus kerana peminat K-POP boleh ketahui cara Idola Kpop mengenakan solekan. Kami dapat tahu tentang kepentingan dan cara betul solekan Korea. Terus-terang, ia memang berlainan dari cara solekan barat. Stail Korea lebih kepada menggunakan warna yang terang serta nampak sentiasa ceria. Saya juga dapat tahu cara betul menggunakan kosmetik Korea dan kesan terperinci,” kata Syera.

 

 

Selepas Emel Ismail mendandan Han Byul, majlis yang bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang itu diteruskan dengan sesi make-over solekan cara artis Korea yang terpilih. Selain ilmu, peserta turut membawa pulang barangan kosmetik dari Pure Theory Cosmetic serta beberapa produk kecantikan Korea iaitu Blink Pop.

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link