Hero Remaja 2020: Oppa Korea Minat Jadi Peserta Tapi Adakah Diterima?

Selepas Dewi remaja 2019 melabuhkan tirai, kini ramai remaja lelaki teruja untuk menghadiri uji bakat Hero Remaja 2020 yang telah diadakan pada 21 dan 22 Disember 2019 di Shah Alam. Pada sesi uji bakat tersebut, ramai anak muda telah hadir untuk merubah nasib menjadi seperti Fattah Amin dan Kamal Adli yang mana kedua-dua mereka ini adalah pemenang Hero Remaja yang lalu. Paling tidak pun, remaja lelaki mahu contohi jejak langkah Syafiq Kyle, Hafiz Roshdi dan Fizo Omar kerana mereka bertiga bermula dari pertandingan ini.

 

Fattah Amin (kiri) dan Kamal Adli.

Menariknya, uji bakat kedua yang akan dilakukan pada 28 dan 29 Disember 2019 di lokasi dan masa yang sama telah menarik perhatian ramai lagi remaja lelaki termasuklah beberapa model dan selebriti lelaki tempatan. Khabarnya influencer juga tunjuk minat yang sama.

 

Difahamkan, kebanyakan individu ini teruja untuk mencuba nasib demi menimba pengalaman baru yang mana mereka menganggap pentas Hero Remaja adalah pentas hebat dalam mencungkil bakat luar biasa Selebriti tempatan ke peringkat lebih tinggi. Timba pengalaman dan ilmu katanya.

 

Walaupun berprofil tinggi, Chris Chan mahu mencuba nasib.

Menurut sumber, Mister Global Malaysia 2019 yang pernah mewakili negara ke peringkat antarabangsa iaitu Chris Chan turut memasang niat untuk menghadiri uji bakat yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang. Jika benar ia terjadi, berkemungkinan besar figura ini memberikan saingan hebat kepada peserta lain memandangkan dia pernah beraksi di pentas antarabangsa. Itupun kalau juri profesional menerima penyertaan lelaki yang berpengalaman di pentas lain.

 

Bekas peserta Hero Remaja yang kini menyerlah. Hafiz Roshdi & Syafiq Kyle (Kanan).

Paling teruja, EH! KOREA BUZZ difahamkan, Hero Remaja 2020 sudah pun dihidu lelaki yang sinonim dengan panggilan Oppa dari Korea Selatan. Walaupun penganjuran Hero Remaja sekadar pertandingan yang hanya diadakan untuk remaja tempatan, pihak yang bertanggungjawab membawa keluar masuk artis dan model Korea telah pun menerima maklum balas positif dari lelaki Korea untuk menyertai pertandingan ini.

 

Sung Bin pernah beraksi di Kuala Lumpur dan tunjuk minat mendalam sertai Hero Remaja.

 

Kebanyakan Oppa Korea ini adalah model Korea yang masih lagi baru dalam bidang peragaan tetapi fasih dalam bahasa Inggeris serta berminat untuk mewarnai dunia peragaan dan hiburan Malaysia.  Walau bagaimanapun, perkara ini kemungkinan hanya sekadar cadangan saja memandangkan syarat utama menyertai Hero Remaja adalah warga negara Malaysia.

 

Jeong Min turut menunjuk minat terhadap Hero Remaja 2020.

Walaubagaimanapun, perkara ini mungkin boleh terjadi memandangkan kehendak pasaran terhadap model Korea di Malaysia meningkat dan ia adalah satu cara baik untuk menyebarkan budaya Malaysia ke Korea. Sebagai contoh, ramai juga orang Korea boleh bercakap Melayu selepas lama menetap di Malaysia atas urusan belajar dan bekerja sementara.

 

Walaupun masih muda dan baru, Min Byeong Joon berani sahut cabaran.

Yang penting, berkemungkinan besar penyertaan Oppa Korea ini mendorong pertandingan berkenaan lebih produktif dan berdaya saing. Malah, impak Hero Remaja pasti segah Big Stage yang menjulang peserta Korea iaitu Jang Han Byul sebagai juara. Secara logiknya, penyertaan mereka boleh membantu rating TV Hero Remaja meningkat luar biasa. Sama ada ia bakal terjadi atau tidak, tunggu saja program Hero Remaja 202o yang bakal disiarkan di Astro Ria tidak lama lagi.

 

Moon sedia beraksi jika diberi peluang sertai Hero Remaja 2020.

Share via
Copy link