Filem Adaptasi Novel Bakal Ditayangkan Di Pawagam

Oleh: Mujahid Saddam
 
Bagaikan trend hangat industri perfileman masa kini untuk mengadaptasi novel ke filem. Lihat sahaja filem besar yang mencipta fenomena tersendiri seperti The Twilight Saga dan The Hunger Games. Negara kita juga tidak kurang hebatnya dengan filem seperti Ombak Rindu yang mencatat sejarah pabila mendapat kutipan ketiga tertinggi filem tanah air.
 
Tahun ini pula menyaksikan filem adaptasi novel seperti Divergent dan baru-baru ini, filem cinta The Fault In Our Stars yang membuatkan penonton kehabisan tisu mengesat air mata. EH! himpunkan lagi filem adaptasi novel yang bakal menjengah pawagam lewat nanti.
 
1. The Giver


Membariskan pelakon hebat seperti Meryl Streep dan Jeff Bridges juga penampilan istimewa penyanyi Taylor Swift, filem sains fiksyen ini mengetengahkan bakat baru Brenton Thwaites sebagai tunjang utama. Ianya berkisar tentang kehidupan sebuah masyarakat pada tahun 2048 yang hidup tanpa warna, bangsa, pangkat serta perasaan kerana memori yang dibuang dari ingatan mereka.
 
2. If I Stay

Sebuah lagi filem yang bakal membuatkan anda menangis, If I Stay menampilkan pelakon muda berbakat besar Chloe Grace Moretz sebagai Mia, koma akibat kemalangan yang turut mengorbankan ahli keluarganya. Dalam keadaan koma, Mia melalui pengalaman yang membolehkannya melihat apa yang terjadi di sekelilingnya serta memori kenangan yang lalu. Kini dia harus memilih sama ada untuk bangkit dari koma dan tinggal bersama teman lelaki serta atuk neneknya atau pergi meninggalkan dunia bersama-sama ahli keluarganya.
 
3. The Maze Runner

Lakonan Dylan O’Brien dari drama bersiri Teen Wolf, filem ini mengisahkan sekumpulan budak lelaki yang terperangkap dalam pagar sesat besar. Mereka tidak mempunyai ingatan terhadap dunia luar dan harus mencari jalan untuk keluar daripada situ.
 
4. Gone Girl

Filem thriller ini mengisahkan Nick (lakonan Ben Affleck) serta Amy Dunne (Rosamund Pike) yang bakal menyambut ulangtahun perkahwinan kelima mereka. Amy secara tiba-tiba dilaporkan hilang oleh suaminya. Rasa simpati masyarakat terhadap Nick berubah kerana sikap ganjil yang ditunjukkannya di hadapan media. Kelakuannya itu membuatkan orang tertanya-tanya adakah dia yang membunuh isterinya?
 
 

Artikel Berkaitan

Share via
Copy link