Tom Cruise Berehat Beberapa Bulan Berikutan Kecederaan Retak Tulang Kaki Di Set Penggambaran

Tom Cruise dijangka bakal berehat dari lakonan aksi untuk beberapa bulan setelah mengalami kecederaan pada dua tulang kakinya yang dikatakan retak ketika melakukan aksi di set penggambaran untuk filem susulan Mission : Impossible 6.

 

Gambar : The Sun UK

 

Pembikinan filem lanjutan itu berkemungkinan terpaksa dihentikan untuk seketika selama empat bulan demi untuk menunggu bintang A-list itu untuk sembuh dengan sepenuhnya dari kecederaan pada pergelangan kakinya di London.

 

Cruise yang kini berusia 55 tahun itu telah terbang semula ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan selepas buku lalinya terhentak di bahagian dinding sebuah bangunan ketika melakukan aksi lompatan merbahaya di atas bumbung.

 

 

“Kecederaan itu lebih teruk dari apa yang disangkakan. Tom mengalami kecederaan yang serius dan perlukan beberapa bulan untuk pulih,” ujar sumber kepada media antarabangsa.

 

Cruise terkenal dengan aksi-aksi berani mati dan suka memberanikan dirinya untuk melakukan lakonan yang berunsur ekstrem. Menurut sumber dalaman, kemalangan yang menyakitkan itu tidak langsung mematahkan semangatnya untuk terus melakukan aksi.

 

“Tom sedikit terkesan tetapi dia tidak langsung menunjukkan kesakitan yang dialaminya berikutan kemalangan aksinya itu. Dan ini tidak langsung dapat menghentikannya dari terus melakukan aksi yang lebih mencabar di masa akan datang. Baginya ia hanyalah sekadar satu hari yang buruk di tempat kerja dan dia sentiasa memandang ke hadapan untuk terus melakukan cabaran tanpa sebarang kemalangan,”  kata sumber lagi.

 

Sebelum ini Cruise dilihat melakonkan babak merbahaya untuk sebuah filem di Paris di mana dirinya telah menunggang motosikal ke arah sebuah kereta sebelum terbang di udara.

 

Gambar : MEGA

 

Dia juga telah dirakam melakukan aksi payung terjun di Oxfordshire ketika penggambaran pada awal bulan lalu. Produser filem tersebut, David Ellison sebelum ini menyatakan yang mana Cruise telah berlatih selama setahun untuk filem ini dan sedang bersedia untuk melakukan aksi yang paling mencabar baginya.

 

“Ia pasti akan menjadi, saya percaya, perkara yang paling mengagumkan dan luar biasa yang dilakukan oleh Tom Cruise dalam filem, dan dia telah berusaha sejak selepas Rogue Nation ditayangkan. It’s going to be mind-blowing,” ujarnya.

 

Share via
Copy link